HomeBeritaManusia tidak hina kerana kesilapan, juga tidak mulia jika terlepas hukuman- Anina

Manusia tidak hina kerana kesilapan, juga tidak mulia jika terlepas hukuman- Anina

KUALA LUMPUR: “Manusia tidak hina kerana melakukan kesalahan, manusia juga tidak mulia kerana tidak dijatuhkan hukuman atas dunia,” kata Anina Saadudin.

Rayuan terakhir mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tinggal 10 hari untuk mengetahui nasib, menarik perhatian bekas Ketua Srikandi BERSATU itu dan diterjemah dalam hantaran di akaun Facebooknya sehingga menarik perhatian lebih 610 komen, hari ini.

Katanya sinis, ramai lagi ahli politik hidup kaya raya, wang berbillion entah berpunca dari mana.

“Mereka juga tidak mulia, mereka cuma masih selamat dan Allah mahu menuntut kebenaran untuk mereka di Mahsyar.

“Apa pun, saya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kebenaran dan tidak akan berganjak dari nya kerana hidup kita tidak hanya berakhir di dunia tetapi akhirat.

“Kepada Allah kita menyembah sujud,” katanya yang dipetik dalam hantaran dimuat naik, pada Isnin.

Meskipun pernah memfailkan saman terhadap Najib itu di Mahkamah Tinggi pada 2015, atas prinsip mencari kebenaran, Anina berpendirian enggan Ahli Parlimen Pekan itu dianiaya, dizalimi, atau dihina tanpa ihsan kerana faktor kemanusiaan selain pernah menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Secara peribadi saya telah menuntut perbicaraan adil dan membela Najib atas prinsip “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah” pada 2018.

“Saya hilang kepercayaan kepada PH dan BERSATU kerana bercakap bohong bukan sahaja kepada saya, malah rakyat Malaysia dengan Manifesto palsu,” katanya.

Bagaimanapun, Anina akur terhadap apa jua keputusan mahkamah.

“Sama seperti semua hamba Allah, saya hanya mahu hidup atas asas kebenaran.

“Jika selepas 10 hari perbicaraan Mahkamah Persekutuan ini memihak kepada Najib, saya anggap beliau tidak bersalah.

“Jika keputusan Mahkamah Persekutuan adalah sebaliknya, saya doakan Najib cekal dan tabah,” katanya.

Author

Pilihan Editor