HomeBeritaMARA keluarkan jenama motosikal melalui Projek AM-2

MARA keluarkan jenama motosikal melalui Projek AM-2

SHAH ALAM: Majlis Amanah Rakyat (MARA) optimis Projek AM-2 berupaya memperkasa industri permotoran negara, sekali gus menjenamakan motosikal nasional.

Kerjasama antara MARA dan syarikat AFY Mobility Industries Sdn. Bhd (A.M.I) melahirkan Projek AM-2 merangkumi pelbagai aspek program pelaksanaan termasuk memburu misi membangunkan hub pengeluaran motosikal tempatan bagi pasaran rantau Asia Pasifik dan domestik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, negara bakal mengeluarkan jenama motosikal keluaran tempatan yang akan memasuki pasaran pada suku ketiga tahun depan.

Katanya, kerjasama itu membawa MARA selangkah lagi ke hadapan khususnya dalam teknologi dan industri permotoran nasional.

“Kita sedar masa hadapan industri motosikal sedang meningkat naik seiring dengan perkembangan ekonomi gig.

“Saya yakin Projek AM-2 ini bakal memberi impak positif kepada industri dan juga MARA selaras dengan visi dan aspirasi kementerian dalam memperkasakan ekonomi Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Motosikal Jenama Tempatan AM-2 di sini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun; Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf; Pengerusi MARA Corporation, Senator Datuk Othman Aziz; dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AFY Mobility Industries Sdn Bhd, Mohd Faez Tan Sri Yahaya.

Mahdzir, berkata kerjasama itu bukan sahaja membuka peluang bagi penempatan latihan industri kepada pelajar Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), tetapi berkongsi kepakaran daripada AMI dengan konsep “Teaching Factory”.

“Kerjasama dari aspek penyelidikan telah pun bermula dengan membangunkan Product Development Centre untuk tujuan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

“Ini adalah gabungan kepakaran dari pasukan R&D A.M.I dan German-Malaysian Institute (GMI),” katanya.

Jelasnya, ia juga akan membantu mempercepatkan lagi proses pembangunan vendor dan tenaga kerja mahir serta R&D di peringkat MARA.

Pada masa yang sama, ia secara tidak langsung turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Saya berharap program penempatan latihan industri ini dapat diteruskan bagi menyokong peningkatan kebolehpasaran graduan TVET MARA”, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan A.M.I, Ahmad Faez berkata, usahasama itu bakal mencipta dimensi baharu dalam industri pembuatan motosikal di negara ini, melibatkan kepakaran pelajar TVET MARA dan pembangunan vendor Bumiputera.

“Saya berharap dengan sokongan padu daripada pihak kementerian dan MARA dalam projek ini dapat merealisasikan objektif syarikat kami untuk mengangkat nama Malaysia dalam industri dua roda,” katanya.

Author

Pilihan Editor