KUALA LUMPUR : Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin memberitahu mustahil parti lawan boleh bergabung bawah satu ‘payung’ kerana ketua parti masing-masing berebut mahu jadi Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai gabungan parti politik baharu berlandaskan Melayu dan Islam bagi menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Zahidi berkata, tindakan Tun M itu kerana beliau tahu parti serpihan seperti Pejuang tidak akan beri kesan atau impak dan mereka perlu bekerjasama.
“Sebenarnya, lagi banyak parti ditubuhkan lagi bagus untuk BN.
“Jika mereka bergerak bawah satu ‘khemah besar’ mungkin ada impak, mungkin sukarlah BN hendak menang.
“Tetapi balik kepada asas, amat mustahil untuk mereka bergabung, masing-masing hendak jadi Perdana Menteri. Yang itu nak jadi PM, yang ini nak jadi PM, mustahillah,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
GTA melibatkan gabungan parti Pejuang, parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), parti Perikatan India Muslim Malaysia (Iman), parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), badan bukan kerajaan (NGO), ahli profesional dan akademik serta individu tertentu.
Gerakan itu dibentuk empat parti politik berhasrat mahu mengembalikan semula kekuatan negara merentasi pelbagai aspek seperti pembangunan ekonomi, rekonsiliasi nasional dan koreksional politik.
Setiausaha Agung Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Lukman Hakim, berkata pembabitan parti itu dalam GTA untuk kekal teguh dengan prinsip “Bersama Pimpin Negara” bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).