KUALA LUMPUR: Pameran Dunia Naga: Mitos dan Legenda yang mempamerkan 95 koleksi terpilih Jabatan Muzium Negara (JMM) yang menampilkan objek-objek budaya material (artifak) yang berbentuk atau bermotifkan naga bermula 26 Julai sehingga 30 Oktober 2022.
Bertempat di Galeri 2 Muzium Negara, mempamerkan pelbagai koleksi termasuk senjata (keris, pedang, meriam dan lain-lain), pakaian, ukiran kayu dan logam, seramik dan tempayan, manuskrip atau teks hikayat dan wayang kulit.
Selain itu, patung atau arca naga, perabot rumah, peralatan dapur, jebak puyuh, peralatan tarian naga dan pelbagai lagi artifak yang memiliki motif dan berbentuk naga turut dipamerkan.
Naga merupakan haiwan mitologi yang muncul dalam hampir setiap kebudayaan kuno masyarakat di seluruh dunia, sering digambarkan sebagai makhluk yang bersifat seperti ular raksasa (serpent) yang memiliki kuasa tertentu dan amat berpengaruh dalam setiap ruang kepercayaan masyarakat lampau.