KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersedia melaksanakan beberapa cabang sektor kecekapan tenaga lestari termasuk perkhidmatan telekomunikasi, melalui kerjasama strategik.
Kerjasama itu sebagai langkah proaktif kerajaan dan agensi terlibat ke arah melestarikan alam sekitar.
Ia sejajar dengan Polisi Tenaga Boleh Baharu Kebangsaan 2025 di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata usaha itu merangkumi pemasangan panel sistem solar photovoltaik bagi menjana tenaga elektrik bersih di dianggarkan lebih 100 institusi pendidikan MARA (IPMA).
Katanya, ia turut membabitkan penyediaan perkhidmatan telekomunikasi dan akses internet di premis institusi sama, oleh anak syarikat TNB, Allo Technology Sdn Bhd.
Selain itu juga katanya, membabitkan pembangunan infrastruktur pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) bagi pengendalian dan pengurusan bas MARA Liner, di Langkawi yang memberi manfaat kepada lapan juta penduduk luar bandar.
“Kerjasama ini diharapkan dapat memperkukuh lagi usaha ke arah kelestarian alam sekitar yang holistik untuk menyumbang dalam pertumbuhan industri dan ekonomi negara.
“Saya yakin berdasarkan pengalaman dan kekuatan yang ada pada kedua-dua agensi ini, skop kerjasama yang dipersetujui dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM200juta kerjasama MARA dan TNB, di Bangsar, di sini.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din.
MoU itu turut bermatlamat membangunkan modal insan dengan memberi nilai tambah kepada ekosistem pendidikan sedia ada untuk melahirkan bakat dan pelapis generasi masa hadapan.
Mahdzir mengulas lanjut, kerjasama itu juga membabitkan program keusahawanan sebagai salah satu pencapaian utamanya.
“Saya berharap akan ada lebih ramai lagi pemain industri turut bekerjasama dengan agensi di bawah KPLB dalam usaha kita menyumbang kepada pertumbuhan industri dan ekonomi negara dan memperkukuh kelestarian alam sekitar,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, MARA akan berbincang dengan TNB mengenai pemasangan panel tenaga solar di bumbung semua 55 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara.
Ia bertujuan menggalakkan penggunaan tenaga lestari di MRSM yang dijangka dilancarkan dalam masa dua bulan lagi.