HomeBeritaNajib kata saya sekeluarga bilionair, tiada bukti tapi kena percaya - Mahathir

Najib kata saya sekeluarga bilionair, tiada bukti tapi kena percaya – Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dalam catatan terbaharu menyatakan bahawa tiada bukti menunjukkan beliau sekeluarga adalah bilionair.

Dalam satu coretan di Facebooknya pagi ini, Mahathir secara sinis mendakwa Datuk Seri Najib Razak tahu mengenai keluarga dan dirinya adalah bilionair walau tiada bukti namun percaya sahajalah.

Mahathir dengan nada sindiran mendakwa, Najib berjaya menukar budaya dan nilai hidup Melayu dengan menolak pembuktian, malah menerima kenyataan tidak berasas.

Dakwanya lagi, Najib berjaya menarik kepercayaan, yang benar tidak benar dan yang tidak benar diterima sebagai benar.

“Yang benar ialah Mahathir memiliki duit berbillion. Duit ini ada di Switzerland dan Taiwan. Apa bukti? Bukti tidak perlu. Najib tahu. Percayalah sahaja.

“Yang benar ialah semua anak Mahathir menjadi billionaire semasa Mahathir jadi Perdana Menteri. Apa bukti. Tidak ada. Tetapi Najib tahu.

“Ada surat dari Mahathir kepada Kementerian Kewangan. Mana dia surat ini. Ada pada Najib. Tunjuk. Tunggu. Akan ditunjuk. Percaya sahajalah. Bukti tidak perlu,” tulisnya di hantaran itu.

Dalam hantaran sama, mantan Perdana Menteri itu mendakwa, selama empat tahun Najib dibicara di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, berasaskan dokumentasi dan cek yang didedah berkenaan duit SRC (anak syarikat 1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun Najib dalam Ambank dan dibelanja olehnya, bagaimanapun kononnya semua itu tidak benar.

“Dia tidak tahu akan adanya duit ini. Dia belanja duit tanpa mengetahui adanya duit ini.

“Jika ada duit ini, ia adalah sumbangan dari Raja Arab. Apa bukti? Tidak perlu.

“Percaya sahajalah dakwaan Najib. Bukti tidak perlu. Bukti adalah penipuan. Tanya AG (peguam negara). Najib tidak salah.

“Selama empat tahun Najib dibicara. Puluhan saksi memberi maklumat akan kesalahan Najib. Dokumen dan bukti lain dipamer.

“Hakim menulis 800 muka surat berkenaan yang didedah oleh saksi, bukti, hasil siasatan.

“Bagi Najib semua yang dicatit oleh hakim tidak benar. Hakim ada conflict of interest (campur tangan). Hakimnya berat sebelah,” tulisnya.

Tulis Mahathir lagi, yang benar ialah penafian oleh Najib, oleh anaknya dan peguamnya.

“Sembilan orang hakim, tiga mahkamah, bicara empat tahun, semua tidak betul, fitnah.

“Apa dia yang betul. Dakwaan oleh Najib dan peguam upahannya. Ini yang betul. Bukti, saksi, dokumentasi tidak perlu, semua tidak betul,” tulisnya.

Di akhir catatan Mahathir mengakui itulah antara kejayaan Najib yang didakwanya mampu menjadikan yang benar sebagai tidak benar dan yang tidak benar diterima sebagai benar.

Author

Pilihan Editor