HomeBeritaPBM tidak sesuai 'teman sebantal' BN - Pemuda UMNO

PBM tidak sesuai ‘teman sebantal’ BN – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) disifatkan tidak sesuai ‘teman sebantal’ atau menjadi parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN).
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, pucuk pimpinan BN perlu mengambil kira tahap kesetiaan dan setiakawan bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin yang kerap melompat parti.
“Saya nak bertanya kepada Yang Berhormat Datuk Zuraida, sudi ke nak bersama dengan parti yang Datuk sudah cemuh dan hina sewaktu dalam PKR dan Bersatu dahulu? Sekarang bila dah dalam PBM nak bersama dengan BN pula.
“Parti yang mana satu sebenarnya yang YB nak? Tak penat ke asyik melompat-lompat  parti mencari dahan nak bergayut? Jangan lupa YB dahulu dipilih oleh rakyat di Ampang untuk menjadi wakil rakyat dan bukan wakil katak,” kata Shahrul Nasrun kepada MEDIA VARIASI.
Tambah Shahrul Nasrun, BN perlu berhati-hati dengan gerakan Ahli Parlimen Ampang itu yang telah memberi janji palsu kepada rakyat di Ampang menerusi janji-janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 dahulu.
“Apa yang YB lakukan? Jangan sesekali menuding jari pada PH hanya kerana YB sudah khianat.
“YB juga merupakan pemimpin PKR ketika itu yang menggubal  “Manifesto Scam” tersebut dan YB juga bukan hanya khianat kepada PH tetapi mandat rakyat sebenarnya,” katanya.
Justeru tegas Shahrul Nasrun, Zuraida dan PBM tidak layak untuk dipertimbangkan sebagai anggota komponen BN.
Pada masa yang sama beliau menyarankan Zuraida menyertai pakatan baharu yang sedang dirangka oleh DAP, PKR dan Amanah iaitu Khemah Besar.
“Kenapa hendak bersama dengan BN? Kenapa tidak bersama khemah besar?
“Adakah kerana YB sudah melihat bagaimana kepercayaan rakyat sudah kembali kepada BN di PRN Melaka dan Johor, kemudian barulah terhegeh-hegeh hendak bersama BN.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Zuraida kerana ingin menjadi komponen BN, Shahrul Nasrun mengingatkan BN khususnya UMNO sudah serik dengan pengkhianatan wakil-wakil rakyat seperti Zuraida selepas PRU14 lalu.
“Minta maaf, kami sudah serik untuk bersama dengan pengkhianat rakyat seperti YB, cukuplah kami bersama dalam keluarga BN ini dan lakukan yang terbaik buat rakyat Malaysia, terima kasih PBM, maaf kami sudah ada keluarga sendiri,” kata Shahrul Nasrun.
Julai lalu, PBM telah menghantar surat permohonan untuk menjadi salah satu parti komponen BN tetapi sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas daripada pucuk pimpinan BN secara rasmi.

Author

Pilihan Editor