KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan syarikat Meta Platforms Incorporated (Meta) mengenai akaun palsu di media sosial berkait dengan agensi keselamatan negara itu.
Setiausaha PDRM, Timbalan Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin memaklumkan, dakwaan syarikat induk Facebook dan Instagram itu adalah serius.
Justeru, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.
“PDRM memandang serius laporan pihak syarikat Meta Platforms Incorporated yang mendakwa terdapat akaun palsu di media sosial yang mempunyai hubungan dengan PDRM.
“PDRM menafikan dakwaan tersebut dan sedang mengumpul maklumat lanjut mengenainya,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di sini, lewat malam tadi.
Melalui Quarterly Adversarial Threat Report yang dikeluarkannya, Meta berkata, individu di sebalik akaun, halaman dan kumpulan mengendalikan “troll farm” – usaha koordinasi yang ditempatkan bersama bertujuan merosak dan memanipulasi wacana awam dengan menggunakan akaun palsu untuk mengelirukan orang ramai berhubung siapa di belakang mereka.
“Walaupun mereka yang berada di sebalik tabir cuba untuk berselindung identiti dan koordinasi, siasatan kami mendapati wujud kaitan dengan polis Malaysia,” dakwanya.
Menurut Meta, individu berkenaan juga didapati aktif di TikTok dan Twitter, di mana mereka menghantar “meme” dalam bahasa Melayu sebagai sokongan kepada gabungan kerajaan sedia ada, sambil mendakwa wujudnya penyelewengan terhadap pengkritiknya.
Di Facebook, jaringan ini menguruskan halaman, termasuk menyamar sebagai entiti berita bebas dan memuji polis sambil mengkritik pembangkang.
“Tipikalnya, aktiviti hantaran dipertingkat ketika hujung minggu dan ketika rehat tengah hari. Akaun palsu mereka tidak sepenuhnya dibangunkan dan sebahagian lagi mencuri gambar profil,” dakwa laporan itu.
Meta mendakwa, menemui jaringan berkenaan selepas menyemak maklumat berhubung sejumlah kecil aktiviti berkenaan yang mana pada permulaannya disyaki berasal dari China oleh penyelidik dari Clemson University.
Laporan itu berkata, kira-kira 427,000 akaun Facebook mengikuti satu atau lebih halaman terbabit dengan kira-kira 4,000 akaun mengikuti satu atau lebih kumpulan berkenaan dan hampir 15,000 akaun mengikuti satu atau lebih akaun Instagram yang dapat dikenal pasti.
Katanya, sejumlah USD6,000 (hampir RM26,740) dibelanjakan bagi iklan di Facebook dan Instagram, yang dibayar terutama dalam ringgit.
Meta menjelaskan “perlakuan tidak sahih” sebagai cubaan memanipulasi perdebatan awam bagi tujuan strategik, di mana akaun palsu menjadi pusat kepada operasi sedemikian.
Dalam setiap kes, syarikat itu berkata, mereka berkoordinasi antara satu sama lain dan menggunakan akaun palsu untuk mengelirukan orang lain tentang identiti sebenar mereka dan apa yang dilakukan.
“Ia terutama tertumpu kepada menggandakan dan meningkatkan kandungan sebaran dan kebiasaannya (namun tidak secara eksklusif) bermotivasikan kewangan,” dakwanya dalam laporan itu.