BIRMINGHAM: Skuad ping pong wanita negara kecewa gagal merangkul pingat emas namun mereka tetap boleh bangga dengan pencapaian mengatasi jangkaan pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022, di sini.
Pemain kebangsaan, Ho Ying mengakui bahawa beliau tidak menyesal dengan kegagalan pasukan itu membuat kejutan menentang Singapura selepas tumbang 3-0 pada final di Pusat Pameran Nasional, Dewan 3, di sini.
Malah, Ho Ying berkata mereka tidak pernah membayangkan mampu menaiki podium, apatah lagi membantu Malaysia meraih perak kedua negara dalam acara itu sejak edisi 2014 di Glasgow, Scotland.
“Sebelum berlepas ke Birmingham, sasaran kami adalah untuk memenangi gangsa beregu wanita, jadi kami jelas tidak menjangka untuk memenangi perak acara berpasukan hari ini.
“Walaupun kami tidak memenangi emas, kerana kami sudah tahu bahawa Singapura mempunyai pasukan yang sangat kuat, kami tetap berbangga kerana kami memenangi perak di Birmingham,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Pemain berusia 27 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Persatuan Pingpong Malaysia serta keluarga dan rakan-rakan atas sokongan padu mereka.
Ho Ying, yang memenangi gangsa bersama Karen Lyne pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia, percaya bahawa pencapaian hari ini akan mendorongnya untuk melakukan yang lebih baik seterusnya dalam acara individu di sini. – BERNAMA