HomeBeritaPERGAK bantu sakit mental, bekas banduan jadi bos

PERGAK bantu sakit mental, bekas banduan jadi bos

DAMANSARA: Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) membantu pesakit mental, Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan bukan sekadar dapat kerja meneruskan hidup tetapi juga menjadi majikan.

Presidennya, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, ketika beliau mendapat profil bekas banduan yang sering bertukar kerja tetapi graduan cemerlang di Switzerland dalam bidang Teknologi Maklumat, ia amat menarik perhatiannya.

“Saya kaji satu profil bekas banduan ni, pelik, dia pernah belajar di Switzerland, pandai, tapi pelik kenapa asyik bertukar kerja.

“Bila dapat tahu bekas banduan ini ada skizofrenia, saya menyelami masalah dia sebelum memberikan peluang kerja sebagai majikan pusat cuci kereta.

“Dia sebelum ini ditahan penjara kerana penggunaan dadah namun selepas bebas dia alami kesukaran untuk bekerja kerana tidak boleh tertekan.

“Jadi saya beri peluang untuk dia jadi majikan manfaatkan kepandaiannya untuk mengembangkan kerjayanya.

“Nampaknya berjaya, dia ada tiga pekerja di bawahnya,” katanya kepada media selepas hadir ke program Advokasi Industri OKU anjuran I-Kembali di dua lokasi.

Lokasi pertama, di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan, manakala lokasi kedua Sri Hartamas (berdekatan Petronas Sri Hartamas, sebelah Lim Tayar Sri Hartamas).

Program I-Kembali yang dilancarkan Pergak sejak tiga tahun lalu membabitkan bekas banduan, OKU, gelandangan, golongan B40 dan semua yang memerlukan sudah mencecah 3,000 orang.

Daripada jumlah itu mereka dibantu untuk jadi usahawan ada yang buka kedai dobi, kedai peralatan kanak-kanak, kafe dan kopitiam.

Dalam pada itu, bekas banduan OKU, Muhammad Ezzat Saryani, 32, sangat bersyukur apabila dirinya dihargai oleh pihak yang prihatin dan sudi memberikan peluang pekerjaan lebih baik untuknya.

Bukan sahaja diberi peluang kerja, PERGAK malah terus membantu memberi jawatan sebagai majikan yang selama ini hanya yang benar-benar layak berada di tempat itu.

“Saya rasa gembira, selama ini kerja dengan orang, kali ini rasa kelainan, sebab ada orang hargai dan percaya pada kita.

“Ini yang menaikkan semangat saya, sekali gus saya tidak fikirkan sangat tentang sakit saya,” katanya yang mengidap penyakit skizofrenia sejak usia 11 tahun.

Author

Pilihan Editor