HomeBeritaRISDA peruntuk RM800,000, prihatin masa depan anak pekebun kecil

RISDA peruntuk RM800,000, prihatin masa depan anak pekebun kecil

ALOR GAJAH: Masa depan anak pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus diberi perhatian oleh kerajaan.

Ini kerana, generasi anak pekebun kecil RISDA juga bakal menjadi penyambung pemimpin dalam pelbagai sektor termasuk usahaniaga, pertanian, perladangan, kerajaan, dan swasta.

Justeru, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui RISDA, terus menyediakan dana sebanyak RM800,000 untuk Skim Bantuan Pendidikan Yayasan RISDA bagi tempoh setahun.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dana itu meliputi pelbagai skim dan biasiswa bagi keperluan sara hidup dan pendidikan.

Katanya, ia membabitkan Skim Insentif Pelajar berjumlah RM500 secara one-off, Bantuan Sara Hidup Pelajar bulanan (RM450) sepanjang pengajian serta Biasiswa Pelajar RM6,800 hingga RM13,800 setahun kepada pelajar Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).

“Saya yakin, dengan inisiatif ini, ia menjadi pemangkin kepada generasi muda anak-anak pekebun kecil RISDA untuk terus menyambung pelajaran ke tahap lebih tinggi serta dapat membantu dalam melancarkan pengajian mereka di UCAM,” katanya.

Melalui yayasan sama, katanya, RISDA turut menyediakan Skim Bantuan komputer riba UCAM secara one-off dan Anugerah Yayasan RISDA berbentuk dermasiswa bernilai RM2,000 kepada pelajar cemerlang.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke UCAM, di sini.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihak UCAM dan tiga rakan industri iaitu GrasiCili Plt, Uwais Cendawan Agrotech Enterprise dan Bitara Emas (M) Sdn Bhd.

MoU itu berkaitan program latihan industri dan penempatan kerja graduan UCAM, latihan profesional, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama komersial.

Turut serta, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Sementara itu, Mahdzir berkata, RISDA memfokuskan bidang pendidikan sejak 65 tahun lalu menerusi pelbagai evolusi.

Katanya, ia selaras dengan perkembangan sistem pendidikan dan keperluan tenaga kerja dalam sektor pertanian negara khususnya perladangan getah.

“Saya difahamkan UCAM setakat ini berjaya melahirkan lebih 10,000 graduan berkhidmat di dalam agensi pertanian dan perladangan kerajaan serta swasta, dan tidak kurangnya ada juga kini bergelar usahawan dan jutawan,” katanya.

Bermula dengan Sekolah Latihan Getah pada tahun 1957, RISDA kini mempunyai UCAM yang juta satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), khusus dalam bidang pertanian.

Author

Pilihan Editor