HomeBeritaSegerakan kes salah guna kuasa, rasuah, henti persepsi pendakwaan terpilih - MCW

Segerakan kes salah guna kuasa, rasuah, henti persepsi pendakwaan terpilih – MCW

KUALA LUMPUR: Pihak berwajib jangan berlengah lagi menyegerakan keseluruhan kes salah guna kuasa, rasuah dan militan tanpa pengaruh mengira latar belakang supaya persepsi terhadap pendakwaan terpilih terus dimatikan.

Ia berikutan, masih wujud persepsi itu yang menjadi satu serangan propaganda bertujuan memburukkan kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman negara.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Datuk Seri Najib Razak, semalam sekali gus menolak keraguan dalam kalangan rakyat terhadap integriti agensi berkenaan.

Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata beliau menghormati keputusan itu yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, katanya, pihak MCW menggesa supaya kes berprofil tinggi lain yang membabitkan kepentingan awam juga diadili dengan sebaiknya.

“MCW yakin bahawa keputusan berkenaan (Mahkamah Persekutuan) tidak terkhilaf, tepat berdasarkan fakta yang diteliti secara profesional.”

“Tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau terkena panahan unsur-unsur politik tertentu yang boleh mencemarkan martabat badan kehakiman negara ini.

“Justeru, pihak berwajib perlu menyegerakan semua kes salah guna kuasa dan rasuah sama ada di peringkat siasatan atau pendakwaan tanpa mengira latar belakang supaya tidak wujud persepsi tindakan pendakwaan berpilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan pihak berwajib bermula dengan kecekapan menjalankan amanah dan pengadilan yang tidak berat sebelah.

MCW turut mengucapkan syabas kepada panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat kerana tegas dalam keputusan terhadap mantan Perdana Menteri yang pernah berjasa kepada negara dan ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah

Antara kes berprofil tinggi masih berlangsung, Lim Guan Eng yg juga Pengerusi DAP, membabitkan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Satu lagi kes berprofil tinggi negara, pertuduhan 12 lelaki warga tempatan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), namun Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memutuskan menggugurkannya.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut senada dengan Jais, yang menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, meskipun tetap rasa terkilan.

Beliau turut membandingkan pengalaman 22 bulan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, menyaksikan sejumlah besar kes pemimpin begitu mudah digugurkan oleh Tommy.

“Rakyat tidak akan pernah lupa bagaimana sistem keadilan dirobek dan diperkotak-katik melalui amalan pendakwaan politik terpilih dan campur tangan jelas dalam sistem kehakiman seperti pengguguran kes rasuah banglo Guan Eng, jenayah fitnah Rafizi terhadap Tabung Haji, penglibatan ADUN DAP yang terlibat dalam pengganas LTTE, kes penipuan dan hasutan pemimpin PH yang telah didakwa, semuanya digugurkan walaupun mahkamah sudah mula bersidang,” katanya.

Tegasnya, selama ini ruang untuk Najib mempertahankan dirinya terutama usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelanya yang baharu membuat persiapan dinafikan.

“Walaupun menghadapi pelbagai tekanan hebat sejak dari awal proses pendakwaan, beliau tidak pernah berganjak, malah tegas berkali-kali mahu membersihkan nama beliau di mahkamah tanpa sekalipun meminta untuk kesnya dibuang atau digugurkan.

“Beliau hanya konsisten meminta agar mendapat peluang dibicarakan secara adil (fair trial),” katanya.

Author

Pilihan Editor