SEDAR atau tidak, sumpah memang ada kaitannya dengan hati. Malah sumpah terlahir daripada perasaan hati.
Dalam adat dan budaya Melayu, penggunaan daun sirih yang berbentuk hati sebagai perlambangan segala perbuatan dimulai dengan hati.
Orang Melayu dahulu kala menganggap sumpah secara ikhtiar mereka berdoa kepada Tuhan mohon ditunjukkan kebenaran dan pembalasan kesalahan orang yang menzaliminya.
Sejarah mengenai sumpah ini diturunkan dari generasi ke generasi dan penulis sebagai pencinta sejarah dan warisan Melayu berusaha sedaya upaya mengumpulkan sejarah secara lisan atau rekod agar generasi akan datang tidak lupa asal usul mereka.
Antara sejarah sumpah yang popular adalah Laksamana Bentan di mana keturunannya disumpah setelah membunuh Sultan Mahmud Shah 11 ketika dijulang ke masjid.
Laksamana Bentan melafaz kata-kata “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”, sebelum dia membunuh Sultan Mahmud.
Kejadian pada 1699 itu menyaksikan Laksamana Bentan membalas dendam kerana Sultan Mahmud membunuh isterinya yang sedang hamil, Dang Anom.
Dang Anom dikatakan terlalu mengidam dan makan seulas nangka milik Sultan sebelum dia dibunuh, ketika itu pula Laksamana Bentan sedang bertarung nyawa berperang dengan lanun demi menjaga tanah air.
Namun keturunan Laksamana Bentan disumpah kerana dalam adat Melayu, raja zalim tidak boleh dibunuh, hanya boleh disanggah.
Sumpahan Mahsuri juga popular di kalangan cerita rakyat kerana hanya selepas tujuh generasi baharu sumpah terlerai dan Langkawi kembali makmur satu fakta yang tidak boleh ditolak.
Menurut legenda, Mahsuri adalah wanita cantik di Langkawi dan berkahwin dengan pahlawan Wan Darus dan memiliki anak nama Wan Hakim, namun suaminya itu terpaksa keluar berperang dengan Siam.
Sepanjang ketiadaan suami, seorang pemuda bernama Deraman membantu urusan harian Mahsuri dan anaknya namun perkara itu dicemburui isteri ketua kampungnya.
Dia telah menyebarkan khabar angin bahawa Mahsuri tidak setia kepada suaminya dan menjalin hubungan sulit dengan Deraman.
Akhirnya, Mahsuri diikat pada pokok dan ditikam berkali-kali namun tidak berhasil.
Mahsuri telah menyumpah tujuh keturunannya bahawa Langkawi tidak akan maju.
Setiap percubaan hukuman mati gagal, Mahsuri kemudiannya menyuruh mereka menikamnya dengan keris milik keluarganya.
Apabila dia ditikam, darah putih mengalir dari luka itu, mengejutkan rakyat kerana ia bukti dia tidak bersalah, sejak itu Langkawi jadi padang jarak padang terkukur tanpa pembangunan.
Kisah sumpah Melayu di Perak pula ialah Pak Kaduk yang terkenal dengan pepatah ‘ayam menang sabung, tapi kampung tergadai, dia bersedih hati kerana ayam jaguhnya ditukarkannya kepada Sultan menang dengan kampungnya sebagai habuan.
Dipendekkan cerita, seekor ikan Tapah menghampiri Pak Kaduk di tebing sungai, lalu Pak Kaduk membelah perut ikan itu dan keluarlah emas yang banyak, membantu Pak Kaduk menuntut semula kampung tergadainya itu.
Pak Kaduk telah melepaskan semula ke dalam sungai dengan lafaz sumpah bahawa keturunannya tidak akan makan atau mengkhianati ikan Tapah yang kekal sehingga sekarang.
Mengikut pengalaman waris Pak Kaduk, jika sumpah itu dilanggar mereka akan sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak dan hanya akan sembuh selepas minum air emas dari perut ikan tapah yang kini tersimpan oleh warisnya di Perak.
Malah turut diceritakan sumpahan Puteri Gunung Ledang terhadap Sultan Melaka yang menjadi punca Melaka tidak memiliki Sultan selepas 1511 sehingga ke hari ini.
Namun banyak lagi kisah sumpah-sumpah yang melibatkan rakyat biasa, orang awam yang tidak diketahui orang.
Adakah kerana sumpah ini hanya ada dalam orang Melayu sahaja? Namun setelah kedatangan orang luar dari Arab, Jepun, China, British dan lain-lain ke Tanah Melayu, sejarah sumpah ini kian dilupakan.
Kesan sumpahan terhadap seseorang itu juga berbagai. Bergantunglah kepada perasaan hati orang bersumpah itu.
Bagi rakyat biasa atau orang miskin, lazimnya bersumpah adalah kerana maruah diri dan keluarga dicabar, dihina.
Orang Melayu dahulu kala amat menjaga maruah. Contohnya, apabila seorang orang miskin yang dimaki hamun, dicaci cerca, dihina, dibenci hanya kerana dia miskin, dia dituduh bersalah?
Maka dia pun menyumpah orang yang memfitnahnya itu, “Aku sumpah anak cucu cicit keturunan kau dibenci dan dimaki hamun oleh orang!”
Malangnya, ramai orang yang disumpah dan anak cucu cicitnya tidak menyedari mereka disumpah.
Menghidap penyakit kulit atau kecacatan yang tidak ada ubatnya, hingga ada dibawa mati.
Mengikut orang-orang lama, sumpah boleh diputuskan, atau dimatikan, atau ditebus, atau didam atau apa-apa nama yang dipanggil, dengan pulut kuning. Itulah sejarah asal usul pulut kuning.
Almarhum Tuanku Abdul Rahman dikatakan mengadakan adat sirih junjung pulut kuning sebagai memutuskan sumpah Mahsuri sebelum Langkawi kembali makmur.
Moga diambil iktibar ini sebagai pelajaran kerana generasi hari ini kurang minat untuk mengetahui asal usul kejadian mereka dan apa fungsi mereka di dunia ini agar tahu di mana sempadan dan teladan yang boleh diambil.