KUALA LUMPUR: Minggu ini ibarat ‘acara kemuncak’ yang dinanti-nantikan di Dewan Rakyat dalam menentukan sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 mampu direalisasikan atau tidak.
Mana tidaknya, jika rang undang-undang itu mendapat persetujuan majoriti di Parlimen, negara bakal melaksanakan strategi Generational End Game (GEG) yang melarang individu lahir pada dan selepas 2007 merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok.
Menurut bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, kaedah larangan berperingkat melalui strategi GEG adalah langkah terbaik memandangkan kerajaan tidak berupaya ‘mengharamkan’ terus penjualan dan pembelian rokok serta peranti merokok (vape).
Pada masa sama, beliau berkata kadar penurunan amalan merokok dalam kalangan masyarakat juga begitu perlahan sedangkan bebanan kos untuk merawat penyakit yang mempunyai kaitan dengan merokok terus meningkat dalam negara.
“Insya-Allah, jika kadar (amalan) menghisap rokok dan vape menurun (berikutan pelaksanaan strategi GEG), beban kesihatan disebabkan oleh tabiat buruk ini juga akan menurun,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Keberkesanan rang undang-undang
Mengulas mengenai keberkesanan rang undang-undang itu memandangkan produk rokok masih boleh dijual kepada mereka lahir sebelum 2007, Dr Lokman Hakim berkata ia bukan satu masalah kerana negara mempunyai Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Akta Makanan 1983.
Katanya, peraturan tersebut ketika ini masih menguatkuasakan larangan merokok atau memiliki hasil tembakau bagi individu berumur 18 tahun ke bawah serta penjualan hasil tembakau kepada golongan terbabit namun peraturan itu tidak terpakai apabila mereka melebihi umur tersebut.
“Di bawah strategi GEG, larangan ini diteruskan apabila mereka (individu lahir pada 2007 dan ke atas) berumur 19 tahun, kemudian berumur 20 tahun dan seterusnya. Maka tidak ada sebab mengapa pelaksanaan rang undang-undang ini tidak berkesan,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Mohd Afiq Md Noor berkata, rang undang-undang itu memberi impak yang besar memandangkan PPKHT 2004 sedia ada tidak merangkumi produk merokok baharu seperti vape dan lain-lain.
Vape juga bahaya
Ditanya mengapa vape tidak boleh dijadikan alternatif terhadap produk tembakau, beliau berkata vape juga terbukti mempunyai bahaya tersendiri dan disebabkan itu ia tidak boleh dibandingkan dengan produk tembakau lain.
“… banyak bahan kimia di dalam itu (rokok tembakau dan vape) boleh bagi sianogen, iaitu kesan risiko kanser. Macam rokok contohnya, selepas 30 tahun baru kita tahu ada kanser paru-paru (akibat) rokok. Ia sama juga untuk vape. Vape, bukan (kesan) jangka panjang sahaja, jangka pendek juga kita sudah jumpa.
“Seperti EVALI (Vaping Associated Lung Injury), kita di hospital nampak penyakit seperti itu datang dari vape. Contohnya, umur masih muda dan tiada penyakit lain, tetapi tiba-tiba ada sejarah vaping. Rosak paru-paru disebabkan vape,” katanya.
Walaupun rang undang-undang itu mendapat maklum balas positif daripada beberapa pihak, namun ada juga pihak menggesa kerajaan supaya mengkaji semula beberapa peruntukan kerana memberi impak negatif kepada ekonomi negara.
Namun, menurut Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Norashidah Mohamed Nor, sumbangan industri tembakau kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tidaklah begitu tinggi.
Sebaliknya, beliau berkata kos merawat penyakit yang mempunyai kaitan dengan merokok adalah lebih tinggi, termasuk kesan terhadap produktiviti negara sekiranya kebanyakan rakyat menghidap penyakit berkaitan pada awal usia 40 tahun.
“Jadi produktiviti akan berkurangan. Banyak kajian telah dibuat dan ia bukan disebabkan masuk hospital semata-mata, tetapi mendapatkan rawatan, cuti sakit dan sebagainya. Peningkatan produktiviti menyumbangkan kepada ekonomi negara kita, kita lihat dari pelbagai aspek bukan hasil sahaja,” katanya.
Selamatkan dua juta nyawa
Sabtu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sejumlah dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian serta keilatan disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh sehingga 2040 sekiranya Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 berkuat kuasa.
Rata-rata warganet di platform media sosial juga bersetuju dengan perkara itu, namun ada juga melahirkan kebimbangan terhadap penguatkuasaan rang undang-undang itu yang menurut mereka mempunyai ruang perlu ditambah baik, terutamanya dari segi hak asasi kemanusiaan.
Bagaimanapun, menurut peguam Hazeeq Fadzli Hasrul Sani masih ada ruang untuk sebarang perubahan dan penambahbaikan terhadap rang undang-undang itu memandangkan ia masih belum dimuktamadkan dan sedang dibahas oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat ketika ini.
“Sebagai warganegara Malaysia, tidak dapat dinafikan bahawa kita memiliki hak-hak asasi yang dilindungi di dalam Perkara 5 hingga 13 Perlembagaan. Oleh itu, sebarang penguatkuasaan rang undang-undang (jika diluluskan) oleh pihak berkuasa perlu selari dan tidak bercanggah dengan hak asasi tersebut.
“Sekiranya apa-apa kaedah penguatkuasaan melampaui batas atau melanggar hak-hak asasi tersebut, kita mempunyai hak di bawah Perlembagaan untuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap agensi-agensi dan/atau penguat kuasa berkenaan,” katanya. – BERNAMA