HomeMV+PendapatTunda kereta tanpa lesen boleh dikira curi, peras ugut

Tunda kereta tanpa lesen boleh dikira curi, peras ugut

AHAD lalu kecoh apabila dua petugas media terkejut kereta-kereta mereka ‘ghaib’ di kawasan letak kereta yang pada awalnya dibenarkan ketika membuat liputan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Kawasan letak kereta adalah di MAEPS, Serdang satu kawasan ‘private’, bayaran awal masuk sudah dikenakan RM5, ia bukan kawasan yang diwartakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengutip tiket jauh sekali kebenaran menunda kenderaan.

Kedua petugas media itu diminta bayar RM100 seorang oleh seorang ‘brother towing’ di bawah khemah yang sudah sedia kerusi, meja dan resit.

Anehnya kawasan parkir berkenaan tiada sebarang penandaan boleh tunda kereta, lebih mengejutkan tiada notis saman atau kesalahan yang diberikan kepada dua petugas berkenaan.

Bayaran RM100 pula perlu dimasukkan ke akaun peribadi ‘brother towing’ walaupun resit yang dikeluarkan dibawah MARDI MAEPS Sdn Bhd.

Semakan MEDIA VARIASI dengan PBT mendapati syarikat terbabit tidak ada lesen tunda daripada PBT bagi menunda kenderaan di MAEPS.

Siasatan menggunakan SMS juga mendapati trak penunda kereta petugas media semalam mempunyai tiga saman tertunggak dengan jumlah saman RM450.

Menurut sumber dalaman juga, syarikat ‘towing’ mendapat komisen sehingga 80 peratus setiap kali tunda kereta.

Wujud dua kesalahan di sini, satu mengalih harta orang lain adalah kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Satu lagi pemerasan atau lagak gengster, tidak boleh keluar atau dapat kereta jika tidak bayar atau kesalahan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Ini belum lagi kesalahan tiada lesen mengutip wang orang ramai dengan kaedah sedemikian, adakah ia dibenarkan PBT atau Bank Negara?

Beberapa petugas media daripada MalaysiaGazzete, Bernama dan TV3 turut disaman selain pengunjung dan pempamer di kawasan sama sejak hari pertama.

Apabila MEDIA VARIASI mengetengahkan isu ini ramai memberi maklum balas bahawa ramai tampil mendakwa kereta mereka ditunda.

Tular video oleh pemilik akaun TikTok, Anipdrone yang mendakwa walaupun keretanya ada pelekat sebagai pempamer atau peniaga di MAHA 2022, kenderaannya tetap ditunda walaupun di tempat parkir disediakan dan duitnya melayang.

Semalam, pihak pengurusan acara MAHA 2022 diarahkan untuk menghentikan operasi tunda kereta, berkuat kuasa, serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi satu kenyataan.

Ia susulan, laporan eksklusif MEDIA VARIASI berhubung artikel ‘Media, pengunjung terkejut kereta ditunda, disaman RM100 tanpa notis di MAHA 2022’, Ahad lalu.

Menurut kenyataan itu, operasi tunda kereta dibuat bagi memastikan aliran trafik dan lalu lintas berjalan lancar dan efisien.

Setelah MAFI mengarahkan pihak pengurusan acara MAHA 2022 untuk menghentikan semua operasi tunda kereta di MAEPS sepanjang penganjuran MAHA 2022, petugas media hanya perlu menunjukkan pas media kepada petugas atau pengawal pintu masuk MAEPS untuk ke tempat letak kereta yang dikhaskan di belakang Dewan A, MAEPS.

Tidak dapat dipastikan pihak mana yang membuat audit berapa banyak kenderaan yang sudah ditunda sejak hari pertama pameran? Ke mana wang tunda itu disalurkan? Kenapa tiada notis saman hanya resit bayaran sahaja?

Pihak mana yang dapat keuntungan kegiatan tunda kereta ini? Adakah setiap kutipan akan didedahkan? Siapa yang terbabit dalam minit mesyuarat dan banyak lagi yang jadi persoalan.

Bagaimanapun, MEDIA VARIASI merakam setinggi penghargaan kepada pihak MAHA 2022 yang berani bertindak segera menangani isu ini secara berhemah.

Semoga MAHA mampu menambah baik perjalanan program khususnya logistik untuk kemudahan semua pengunjung yang hadir.

Author

Pilihan Editor