Oleh: SITI NS
PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong, memulakan cabaran dan memberikan perkhabaran gembira pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia apabila mara ke pusingan kedua dengan menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun sebentar tadi.
Tze Yong yang berada di ranking ke-42 dunia mampu memberi kejutan dengan corak permainan yang agresif. Dia juga tampak tidak berdepan masalah dan tenang untuk menewaskan Chico yang juga juara Masters Malaysia Julai lalu dengan keputusan cemerlang secara “straight set”, 21-16, 21-10 dalam tempoh 40 minit.
“Saya sangat teruja sebab dapat slot ke kejohanan dunia ini, saya tak akan fikir banyak sangat dan akan berikan yang terbaik nanti. Itu janji saya,” ulas pemain yang berusia 22 tahun itu.
Tze Yong juga telah mencipta kejutan susulan kejayaannya memenangi pingat perak pada saingan individu di Sukan Komanwel Birmingham 2022 selain membantu skuad negara meraih emas dalam acara berpasukan campuran.
Tetapi perjalanan kejohanan ini masih panjang buat Tze Yong yang bakal berdepan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama dan Sitthikom Thammasin dari Thailand bagi merebut tempat ke pusingan ketiga.