KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali rangkaian mudah alih maya, XOX Berhad (XOX), telah mengambil alih sepenuhnya pasukan Liga Premier, Perak FC melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd.
Menurut XOX Berhad, misi mereka sememangnya untuk terus aktif terlibat dengan sukan agar ia dapat membina warisan kelab Perak FC sekali gus mengembalikan kestabilan serta kejayaan pasukan tersebut.
“Pengambilalihan ini selaras dengan strategi XOX Pro Sport untuk menumpukan fokus sepenuhnya pada pemasaran dan pengurusan sukan,” menurut XOX Berhad dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Lembaga Pengarah dan Eksekutif XOX turut menyerahkan tanggungjawab pengurusan Perak FC bagi operasi harian yang akan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Bobie Farid Shamuddin.
“XOX berharap dengan pengumuman ini, akan memberikan semua penyokong rasa kestabilan dan keselamatan, mengetahui bahawa kelab itu berada dalam tangan yang selamat,” menurut kenyataan itu.
Mei lepas, XOX Pro Sport Sdn Bhd memeterai perjanjian bersama Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd bagi pengambilalihan 100 peratus pegangan ekuiti dalam kelab bola sepak Perak FC pada harga RM1.
Pembelian Perak FC pada harga RM1 adalah berdasarkan persetujuan bersama selepas mengambil kira kerugian selepas cukai, tunggakan hutang dan kesukaran untuk beroperasi sebagai sebuah kelab bola sepak. – BERNAMA