HomeBerita8,000 kuota rumah untuk Bumiputera pada BPEX 2022

8,000 kuota rumah untuk Bumiputera pada BPEX 2022

KUALA LUMPUR: Kira-kira 8,000 unit kuota Bumiputera bernilai RM6 bilion bakal dipamerkan menerusi BPEX Pameran Satu Rumah Satu Keluarga Bumiputera Malaysia 2022 pada 1 dan 2 Oktober nanti.

Pameran itu bakal diadakan di Pusat Pameran Mid Valley dari jam 11 pagi hingga 9 malam.

Sebanyak 5,000 unit rumah dari Selangor dan 3,000 unit rumah dari Kuala Lumpur daripada projek yang sudah siap atau yang sedang dibangunkan terbabit pada pameran.

Datuk Nor’ashikin Taib

Penganjur program, Pengarah Urusan MMC, Datuk Nor’ashikin Taib berkata, anggaran harga unit yang akan dipamerkan adalah bermula dari RM250,000 hingga RM1.6 juta.

“Kami sasarkan 5,000 hingga 10,000 pengunjung dijangka hadir dengan sasaran penjualan RM50 juta mungkin dua kali ganda selepas itu.

“Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib dijangka akan merasmikan pameran dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dijangka hadir untuk majlis penutup,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian pada Minum Petang BPEX Pameran Satu Rumah Satu Keluarga Bumiputera Malaysia di sini hari ini.

Tambah Nor’asyikin, menerusi pameran kali ini, skim-skim menarik seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dari Kementerian Kewangan, Skim Rumah Pertamaku (SRP) dari Cagamas, Skim PR1MA Rent-To-Own (RTO) untuk membantu golongan tidak mampu beli rumah.

“Pameran ini menyasarkan pemilikan ekuiti Bumiputera di bidang hartanah dan menggalakkan kaum Bumiputera khususnya orang Melayu, celik hartanah dan menyahut aspirasi kerajaan untuk pemilikan hartanah Bumiputera sebanyak 30 peratus.

“Pembeli Bumiputera nikmati harga promosi dan diskaun sehingga 15 peratus.

“Promosi-promosi berupa subsidi percuma perjanjian jual beli, setem duti dan pelbagai lagi kelengkapan kabinet dapur, baucar perabot dan peralatan teknikal percuma akan disediakan oleh pemaju.

“Pemaju yang terbabit adalah Platinum Victory, PKNS, SP Setia, Malton Berhad, OCR Group Berhad, MCT Berhad, IJM Corporation Berhad, UEM Sunrise, EUPE Corporation Berhad, MKH Berhad, Glomac Group dan TS Law,” katanya.

Author

Pilihan Editor