SHAH ALAM: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendengar keputusan sama ada beliau perlu membela diri atau dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Ahmad Zahid, 69, dilihat berjalan bersama kira-kira 100 para penyokong berpakaian serba hitam dan putih dari pintu utama Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke lobi bangunan itu sekitar 8.50 pagi.
Presiden UMNO itu turut diiringi Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Terdahulu barisan pendakwa raya dan pasukan pembelaan Ahmad Zahid tiba di lobi bangunan itu bermula sekitar 8.15 pagi.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa dijadual menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada 9 pagi.
Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap Ahmad Zahid, maka beliau akan dipanggil untuk membela diri manakala jika sebaliknya bekas timbalan perdana menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.
Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.
Terdahulu, kira-kira 100 pengamal media dari dalam dan luar negara mula tiba seawal 7 pagi bagi membuat liputan kes tersebut dan penyokong Ahmad Zahid dilihat berkumpul di pintu pagar utama mahkamah sekitar jam 8 pagi dengan membawa kain rentang tertera ‘Solidariti 4 AZH’. – BERNAMA