Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI
PERTEMBUNGAN Brazil dan Tunisia yang berlangsung di Perancis dicemari dengan unsur perkauman yang menjijikkan. Richarlison telah dibaling pisang oleh penonton semasa meraikan gol.
Perlawanan antarabangsa FIFA itu diadakan di Stadium Parc des Princes, Paris, awal pagi tadi.
Pasukan kebangsaan Brazil bergambar dengan sepanduk khas sebelum sepak mula. Sepanduk berwarna putih dengan perkataan “Tanpa pemain kulit hitam kami, kami tidak akan mempunyai bintang pada baju kami. Pasukan kebangsaan Brazil menentang perkauman,” dalam bahasa Portugis.
Kata-kata ini adalah sokongan pasukan kebangsaan Brazil untuk Vinicius Jr. Penyerang pasukan Samba itu menjadi mangsa perkauman di Sepanyol ketika memperkuatkan Real Madrid dalam perlawanan derby Madrid menentang Atletico Madrid.
Malangnya, pasukan kebangsaan Brazil mendapat cemuhan semasa aksi di Parc des Princes. Insiden itu berlaku pada minit ke-19, ketika Richarlison meraikan gol kedua Selecao.
Penonton yang berada di tempat duduk membaling pelbagai barangan ke arah Richarlison di tepi padang. Salah satu yang dilemparkan ialah pisang, tanda perkauman terhadap warga Brazil itu.
Pisang yang dibaling oleh penonton hinggap berhampiran kaki Richarlison. Pemain tengah Brazil, Fred kemudian menendang pisang itu dari padang.
Pasukan kebangsaan Brazil menamatkan perlawanan dengan kemenangan 5-1 ke atas Tunisia. Video Richarlison dibaling pisang oleh peminat di tempat duduk tular di media sosial.
Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) kesal dengan apa yang berlaku di Parc des Princes. CBF menciap semula gambar sepanduk anti-perkauman mereka sebelum sepak mula, ditambah dengan perkataan yang bercanggah dengan yang berlaku di atas padang.
“Malangnya, selepas tindakan ini, pisang dibaling di atas padang ke arah Richarlison, pencipta gol kedua Brazil. CBF mengukuhkan pendirian untuk memerangi perkauman dan menolak sebarang manifestasi prasangka,” ciap CBF.