HomeSukanFinal Piala FA: Sanusi sokong TFC

Final Piala FA: Sanusi sokong TFC

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Sanusi Md Nor kembali mencuri tumpuan peminat bola sepak apabila menyarung jersi pasukan selain Kedah menjelang perlawanan akhir Piala FA, pada Sabtu ini.

Menerusi rakaman video di akaun TikTok rasminya, Sanusi yang pada mulanya berpakaian formal menyarung jersi pasukan Terengganu yang berbelang hitam dan putih.

Menteri Besar Kedah itu dilihat mengalami sedikit kesukaran ketika cuba untuk menyarung jersi Terengganu akibat masalah saiz.

Namun Sanusi berjaya berbuat demikian lalu mengelap dahinya tanda sukarnya untuk memakai jersi tersebut.

“Kasi panassss,” tulis Sanusi di TikToknya.

Gelagat Sanusi itu menimbulkan spekulasi sama ada adakah beliau secara halus menzahirkan sokongan terhadap Terengganu menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun tindakan Sanusi itu mendapat perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Sokong TFC ye final nanti,” tulis Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu kepada Sanusi.

Sebelum ini, Sanusi mempunyai pelbagai drama dengan pihak JDT terutamanya Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila saling berbalas hantaran di media sosial.

Author

Pilihan Editor