KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) akan melakukan imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) bagi menentukan kecederaan dialami pemain beregu wanita badminton negara, Pearly Tan pada pusingan kedua Terbuka Jepun 2022, Khamis lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata imbasan MRI terhadap Pearly itu akan dilakukan pihaknya selepas pemain itu tiba dari Jepun dalam tempoh sehari dua lagi.
“Setakat ini maklumat yang dimaklumkan dari pihak kami di Jepun adalah kecederaan di bahagian lutut dan berkemungkinan bersangkut paut dengan bahagian lain.
“Tak dapat pastikan sama ada beliau alami ACL (ligamen krusiat anterior) kerana melalui imbasan MRI dan penelitian lanjut di sini baru dapat tahu tahap kecederaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengenalan penaja Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 MSN 2022 di sini, semalam.
Kecederaan dialami Pearly menyaksikan beliau mengakhiri perjuangan bersama pasangannya M. Thinaah sewaktu menentang lawan dari Korea Selatan Baek Ha Na-Lee Yu Lim dalam kejohanan berlangsung di Arena Maruzen Intec, Osaka.
Selepas ketinggalan 11-16 dalam set penentuan, Pearly mengambil keputusan menarik diri dan meninggalkan gelanggang menggunakan kerusi roda dalam tangisan sementara wakil Korea Selatan itu mara ke suku akhir kejohanan.
Dalam pada itu, Ahmad Faedzal memaklumkan pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya Jun lepas, telah menunjukkan perkembangan positif dalam pertemuan mereka minggu lalu.
“Dari segi psikologi, dia sangat positif, setakat ini beliau patuhi proses pemulihan dengan baik,” tambahnya.
Justeru, beliau berkata pihaknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) akan terus meneliti bentuk bantuan diperlukan Sivasangari bagi memastikan pemain itu dapat kembali ke gelanggang dalam keadaan bersedia tidak lama lagi. – BERNAMA