PETALING JAYA: Kejohanan Piala Raja Thailand yang bakal berlangsung minggu hadapan di Chiang Mai adalah pentas terbaik buat Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi untuk membuat penampilan sulung bersama pasukan negara.
Penjaga gol Petaling Jaya City itu berkata ketiadaan Farizal Marlias dalam senarai skuad Harimau Malaya kali ini membuka peluang kepadanya dan dua lagi penjaga gol yang dipanggil untuk membuktikan keupayaan menjadi benteng terakhir pasukan.
Selain Kalamullah, dua lagi penjaga gol yang berada dalam skuad pasukan kebangsaan ke Chiang Mai adalah penjaga gol skuad Bawah 23 Tahun (B-23) iaitu Rahadiazli Rahalim dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dari Negeri Sembilan FC.
“Ini peluang terbaik saya untuk buktikan dalam skuad kebangsaan. Saya perlu buktikan dalam sesi latihan.
“Ketiga-tiga penjaga gol semua terbaik. Ketiadaan Farizal membuka peluang kepada kami dan kami akan cuba yang terbaik. Sesiapa juga diberi peluang untuk menjadi penjaga gol utama pasti akan buat yang terbaik,” kata Kalamullah ketika ditemui sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM di sini hari ini.
Kalamullah berkata beliau yakin dengan prestasi semasanya terutama selepas berjaya membantu PJ City mencatat keputusan seri dengan juara Piala FA, Johor Darul Ta’azim (JDT) Khamis lepas.
Pemain berusia 27 tahun itu telah empat kali dipanggil menyertai pasukan kebangsaaan namun masih belum membuat sebarang penampilan.
Sementara itu, pemain pertahanan Declan Lambert yang pertama kali dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan berharap dapat memberikan aksi terbaik dan membanggakan seluruh peminat bola sepak negara.
“Ia adalah perkara terbaik dipanggil menyertai skuad kebangsaan dan bangga untuk mewakili Malaysia. Sasaran peribadi saya adalah untuk terus mendapat kepercayaan dipanggil menyertai skuad kebangsaan, tapi buat masa ini saya bersedia untuk belajar. Saya berharap dapat meyakinkan para jurulatih,” katanya.
Malaysia yang berada di ranking ke-148 dunia diundi untuk menentang Thailand (111) pada 22 Sept (Khamis), manakala Trinidad & Tobago (101) akan berhadapan dengan Tajikistan (109).
Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan bertemu di peringkat final pada 25 Sept manakala pasukan yang kalah akan berentap untuk merebut tempat ketiga. – BERNAMA