KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan protokol baharu membabitkan pemakaian pelitup muka, hanya diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam, berada klinik dan hospital serta individu dijangkiti COVID-19.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkuatkuasa, hari ini.
Khairy berkata, pemakaian pelitup muka adalah wajib terhadap individu positif COVID-19, selain menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah.
Selain itu, ia wajib dipakai ketika berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan yang setara dengannya.
“KKM akan terus memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optima bagi memastikan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi COVID-19.
“Kelonggaran yang diberikan ini bukanlah bermakna orang ramai boleh memandang ringan risiko jangkitan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) – Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022, di sini.
Mengulas lanjut katanya, pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan.
Bagaimanapun katanya, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka.
“Keperluan pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu tidak diwajibkan.
“Walau bagaimanapun, KKM menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan ketika berada di kawasan sesak; individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema; individu berisiko tinggi; dan ketika bersama seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya.
Katanya, pemakaian pelitup muka terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan.