HomeBeritaKPLB kemuka syor tingkat pendapatan pekebun kecil RISDA

KPLB kemuka syor tingkat pendapatan pekebun kecil RISDA

PADANG TERAP: Kadang kala ada pihak terlepas pandang terhadap nasib golongan penoreh getah yang tidak mempunyai kebun atau tanah sendiri.

Justeru, selain pemilik kebun berdaftar, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mahu memberi perhatian terhadap mereka tanpa kebun sendiri melalui kertas cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia bagi membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata, cadangan pertama dengan meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 ketika ini, kepada lebih RM3.

Katanya, cadangan kedua adalah memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan setiap tahun.

“Kertas kerja tersebut akan memberi perhatian terhadap golongan penoreh getah yang tidak mempunyai kebun atau tanah sendiri.

“Kadang-kadang beberapa pihak terlepas pandang terhadap golongan ini. Bagi pemilik kebun, mereka ada geran bagi mendaftar untuk mendapat beberapa faedah tetapi bagaimana pula nasib golongan penoreh getah yang tidak memiliki tanah ini?.

“Jadi, kita mahu turut memberi perhatian terhadap golongan ini. Kita mahu turut raikan mereka agar pendapatan masing-masing, dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Pekebun Kecil Makmur RISDA Peringkat Negeri Kedah di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, di sini.

Mahdzir berkata, KPLB bersama pengurusan tertinggi RISDA akan membincangkan inisiatif tersebut bersama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), minggu depan.

“Selepas itu, cadangan ini akan dibawa kepada Kementerian Kewangan (MOF). Apabila selesai perbincangan bersama tiga kementerian ini, inisiatif tersebut akan diangkat kepada Perdana Menteri secepat mungkin,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata,
cadangan harga lantai itu memerlukan kos keseluruhan, dijangka mencecah RM500 juta manakala tempoh bantuan musim tengkujuh memerlukan peningkatan kos di pihak kerajaan daripada RM200 juta ketika ini kepada RM400 juta setahun.

Mahdzir berkata, kerajaan boleh memilih mana-mana cadangan yang difikirkan sesuai dan mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

“Perbezaan kosnya nampak tidak ketara dalam membantu pekebun kecil dan mungkin kerajaan boleh pertimbangkan untuk melaksanakan salah satu daripadanya, bergantung kepada cadangan mana yang lebih baik,” katanya.

Author

Pilihan Editor