HomeBeritaKPLB sedia 'perahu' hadapi peralihan monsun

KPLB sedia ‘perahu’ hadapi peralihan monsun

PUTRAJAYA: Perahu sudah di tangan, perahu sudah di air, bermaksud sudah siap sedia segala keperluan bagi melakukan pekerjaan.

Bertepatan dengan usaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), semua agensi di bawah kementerian berkenaan sudah bersiap sedia menghadapi peralihan monsun.

Agensi yang terlibat menguruskan bencana banjir sebelum ini antaranya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (KESEDAR).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata semua agensi di bawah KPLB sudah pun mempunyai pengalaman dalam pengurusan bencana banjir sebelum ini.

Katanya, ia sebagai langkah persediaan menghadapi fasa peralihan monsun yang akan bermula pertengahan September sehingga November depan.

“Kita bersedia ke arah itu (banjir) kalau nak ada perahu, berapa perahu, kalau nak ada makanan nak cari kedai mana nak sediakan makanan.

“Jangan dah banjir baru hendak cari, baru nak sign kontrak, baru beli beras dan sebagainya, kedai mana semua dah sedia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Selangor di sini.

Pada majlis berkenaan, Mahdzir menyampai watikah pelantikan kepada 212 Pengerusi JPKKP Negeri Selangor bagi sesi lantikan 2022-2023.

Majlis turut dihadiri, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, KPLB turut mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua agensi berkaitan sebagai langkah awal memastikan persediaan berjalan lancar.

“Datuk KSU (Ketua Setiausaha) Ramlan Harun pagi tadi telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri, jadi kita dah bersedia dengan pelbagai persiapan rapi,” katanya.

Musim Monsun Timur Laut dijangka bermula pada November ini hingga Mac 2023.

Author

Pilihan Editor