HomeBeritaKu Li lihat penyatuan BN-GTA tambah kekuatan hadapi PRU15

Ku Li lihat penyatuan BN-GTA tambah kekuatan hadapi PRU15

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah melihat penyatuan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) boleh menambah kekuatan kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kata beliau, ia berikutan dijangkakan tiada parti politik yang akan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan dalam PRU15 nanti.

“Jika jumpa pengasas GTA (Tun Dr Mahathir Mohamad) isu inilah saya hendak ketengahkan, saya sudah ada parti (BN) tak boleh masuk parti lain tetapi kita boleh lihat dari sudut solidariti satukan tenaga untuk kebaikan masyarakat dan negara.

“Ketika ini timbul kebimbangan kerana perpecahan, galakkan perpecahan di mana setiap parti perlu mencari kekuatan hadapi sebarang kemungkinan PRU15. Jangan dipecah belah kemahuan diri atau pendesak.

“Kemungkinan tidak ada satu parti yang akan menang PRU15 untuk beri kemampuan tubuh kerajaan sendiri dan terpaksa bergabung dengan pihak lain sebagai pakatan itupun jika ada pihak mahu bersatu bergabung dengan mereka,” katanya pada sidang media pelancaran Anita KTM Borneo Ride di kediaman Ku Li, Jalan Langgak Golf, di sini pada Rabu.

Tengku Razaleigh

Turut hadir Presiden Kelab Anita Bikers, Anita Yusop yang bakal terbang Jumaat ini ke Malaysia Timur akan mengadakan konvoi motosikal jenama KTM sepanjang 4,400 kilometer membabitkan Sarawak dan Sabah.

Dalam pada itu, Ku Li menambah, jika Melayu terus berpecah ia akan menjadi lebih lemah, jadi alat kepentingan yang lain dan agenda pembangunan negara juga terbantut.

“Kita lihat sekarang perpecahan tidak membaiki negara, tiada satu parti boleh redakan keadaan, sebutkan nama-nama negara yang hadapi masalah perkauman, tidak sama pendapatan akan jadi isu yang besar yang sukar, timbul bibit perpecahan seperti ini.

“Jika Melayu sudah berpecah sukar untuk amankan keadaan apatah tiada kerajaan untuk kawal keadaan,” katanya.

Author

Pilihan Editor