HomeGaya HidupKuching meriah dengan WAK 2022 Oktober depan

Kuching meriah dengan WAK 2022 Oktober depan

 

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Bulan Oktober hadapan menyaksikan bandar raya Kuching meriah dengan sebanyak 181 acara unik diiringi 455 acara harian diadakan sepanjang festival What About Kuching (WAK) 2022.

Festival yang telah berehat selama dua tahun kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah merupakan festival yang dinanti-nantikan oleh rakyat Sarawak sejak pandemik COVID-19 mengganas sebelum ini.

“Bandar raya ini (Kuching) akan menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong asing sepanjang bulan Oktober tahun ini oleh WAK 2022,” katanya ketika merasmikan WAK 2022 di Old Court House Kuching pada Khamis.

Menurut beliau festival ini buat julung kalinya dianjurkan dengan kerjasama kementeriannya bakal menjanjikan pembaharuan yang akan memberi nilai tersendiri kepada para pengunjung kelak.

“Kolaborasi bersama institusi pengajian tempatan di sekitar Kuching antara pembaharuan yang ditampilkan,” ujarnya.

WAK 2022 akan menghidangkan pelbagai acara yang memaparkan kebolehan menarik dalam seni persembahan, bercerita dan persembahan visual.

Selain itu, tambahnya WAK 2022 tahun ini turut menjanjikan kepelbagaian acara seperti pertunjukan muzik, lakonan, tenunan, berbasikal, pameran foto, komedi, memasak, berkebun serta seni mempertahankan diri.

“Saya yakin acara-acara yang disusun akan menarik perhatian orang ramai untuk menyertai WAK 2022 nanti,” tegasnya.

Abdul Karim mendedahkan WAK 2022 menyasarkan seramai 300,000 pengunjung akan menyertai festival yang akan berlangsung selama 30 hari berpusat di Old Court House Kuching itu kelak.

Menjadikan WAK sebagai salah satu intipati kalendar pelancongan Sarawak, Abdul Karim menyifatkan pengisan WAK pada Oktober menyaksikan Sarawak tidak ketandusan acara sepanjang tahun ini dalam usaha menghidupkan semula sektor pelancongan.

Author

Pilihan Editor