Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI
SKUAD kebangsaan England dinilai gagal meraih prestasi terbaik sejak kebelakangan ini dan situasi ini meletakkan Gareth Southgate berada di bawah tekanan tinggi.
The Three Lions tidak berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan terbaharu mereka. Semasa menentang Jerman, keputusan berakhir seri 3-3 di Stadium Wembley awal pagi Selasa tadi.
Terdahulu, England tumpas 1-0 dalam kunjungan ke San Siro bertemu Itali.
Untuk rekod, belum ada kemenangan mampu dilakar anak-anak asuhan Southgate di Liga Negara-Negara UEFA A 2022/2023. Akibatnya, England dipastikan akan diturunkan pangkat bermain dalam Liga Negara-Negara UEFA B pada musim depan.
Sudah timbul suara-suara mahu Southgate dipecat dan segera mencari pengganti lebih ideal mengemudi pasukan itu sebelum Piala Dunia 2022 Qatar.
Antara nama yang disebut-sebut adalah pengurus kebangsaan Jerman di Euro 2020, Joachim Loew. Joachim Loew adalah salah satu jurulatih terbaik dalam dunia bola sepak antarabangsa dan kini sedang menganggur.
Loew mengundurkan diri dari posisinya sebagai pengendali Jerman pada Mac 2021. Dia meninggalkan jawatan tersebut setelah 15 tahun bersama Die Mannschaft.
Di bawah kepemimpinan Loew, Jerman meraih prestasi bagus termasuk Piala Dunia 2014 dan Piala Konfederasi 2017.
Calon kedua adalah pengurus Nottingham Forest, Steve Cooper. Dia berjaya membawa Nottingham Forest promosi ke Liga Perdana Inggeris pada musim lalu. Kelab yang digelar The Tricky Trees itu naik pangkat setelah 23 tahun tersisih dari kancah elit liga utama.
Sayangnya, persembahan Nottingham Forest di Liga Perdana Inggeris musim ini kurang begitu bagus kerana kedatangan banyak pemain baharu. Bagaimanapun, Cooper pernah miliki pengalaman bersama skuad England.
Lelaki berusia 42 tahun tersebut pernah membimbing England B-16 dan B-17 dan pernah memimpin England B-17 ke final Euro 2017.
Nama-nama lain dikaitkan adalah pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, pengendali PSG, Mauricio Pochettino dan Thomas Tuchel yang baru sahaja dipecat Chelsea.