HomeSukanLutut cedera, Pogba mungkin terlepas aksi Piala Dunia Qatar 2022

Lutut cedera, Pogba mungkin terlepas aksi Piala Dunia Qatar 2022

Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI

PEMAIN tengah Juventus, Paul Pogba mungkin tidak akan kembali beraksi untuk kelab Serie A itu sehingga Januari depan kerana kecederaan lutut yang memerlukan pembedahan, kata pengurus Massimiliano Allegri pada Isnin.

Kecederaan Pogba menimbulkan keraguan terhadap penyertaan tonggak antarabangsa Perancis itu di Piala Dunia.

Bulan lalu Pogba memutuskan untuk tidak menjalani pembedahan selepas merosakkan meniskusnya dalam sesi latihan.

Namun, Allegri berkata keadaan telah berubah selepas dia cuba berlatih semula

“Pagi ini dia berlatih untuk kali kedua tetapi kemudian berhenti dan diputuskan untuk menjalani pembedahan. Kami secara realistik akan mendapatkannya kembali pada Januari,” kata Allegri kepada pemberita sebelum pertembungan Liga Juara-Juara di Paris St Germain.

Allegri tidak pasti sama ada Pogba yang berusia 29 tahun akan bersedia untuk mempertahankan kejuaraan dunia Perancis pada kejohanan di Qatar bermula 21 November ini.

“Piala Dunia bukan masalah saya, masalah Juventus ialah dia kembali pada Januari,” katanya.

Pogba memainkan peranan penting kemenangan Piala Dunia Perancis pada 2018 di Rusia, menjaringkan gol dalam perlawanan akhir menewaskan Croatia 4-2 untuk menjulang trofi selepas 20 tahun.

Dia telah menjaringkan 11 gol dalam 91 penampilan untuk Perancis.

Author

Pilihan Editor