KITA harus akui bahawa dunia pada hari ini semakin ‘muda’. Di Malaysia sahaja, hampir 41% daripada populasinya berumur di bawah 25 tahun.
Sebilangan besarnya adalah berasal atau secara relatifnya membesar di kawasan luar bandar.
Maka, membangunkan potensi golongan belia amat penting bagi pembangunan dan kesejahteraan luar bandar yang mampan.
Menyedari hakikat tersebut, amatlah penting bagi Kerajaan Keluarga Malaysia memberikan fokus yang lebih terhadap pembangunan potensi belia luar bandar.
Kita harus mewujudkan satu ekosistem yang proaktif dan produktif bagi memastikan potensi setiap belia luar bandar tidak dibazirkan dalam mendepani masa hadapan yang kian rencam.
Justeru itu, terdapat tiga paradigma utama dalam pembangunan belia luar bandar.
Paradigma pertama adalah responsif. Dalam mengemudi konteks semasa dunia yang saling terangkum, masyarakat luar bandar terutama sekali belia amat perlukan penguasaan kemahiran yang pelbagai serta rentas bidang, seperti ilmu matematik, sains serta kemahiran kognitif dan bukan kognitif yang lain.
Semua kemahiran-kemahiran tersebut bakal memperkasa kebolehan diri masyarakat bagi mendepani cabaran sosio-ekonomi yang unik di zaman ini.
Maka, amatlah penting bagi belia luar bandar menguasai semua kemahiran tersebut menerusi pelbagai program peningkatan kemahiran dan peluang-peluang pendidikan yang lain agar sifat responsif mereka menjadi lebih terarah dan tidak sekadar ‘responsif’ secara melulu terhadap kejadian-kejadian di persekitaran mereka.
Paradigma kedua adalah kesalinghubungan, bukan sahaja dari aspek digital, tetapi juga dari aspek fizikal.
Seperti contoh, bagi memboleh pembangunan potensi belia luar bandar dilakukan dengan lebih holistik, akses kepada infrastruktur fizikal seperti jalanraya amatlah perlu selain daripada akses kepada teknologi digital.
Kesalinghubungan dari aspek fizikal dan digital tidak patut dipisahkan dalam konteks pembangunan belia luar bandar.
Seharusnya, ia disatukan dan jalan selari dengan usaha pembuat dasar menjadikan ‘luar bandar, luar biasa’.
Contoh untuk dilihat ada di sekitar kita. Seperti di China, kejayaan “Taobao Village” dalam melibatkan lebih 90% penduduk kampung tersebut dalam perniagaan dalam talian adalah satu kejayaan yang boleh ditiru Malaysia.
Keupayaan mereka untuk menjual produk-produk mereka ke pasaran domestik dan antarabangsa boleh direalisasikan kerana wujudnya kesalinghubungan infrastruktur fizikal dan digital yang lengkap dan boleh dipercayai.
Kesalinghubungan yang lengkap dan dipercayai itu membolehkan manfaat-manfaat positif ekonomi digital dirasai oleh golongan belia luar bandar selain berupaya menaikkan taraf hidup mereka tanpa berhijrah jauh ke kawasan bandar.
Paradigma ketiga pula adalah “Sense of Agency” atau rasa kepunyaan.
Perbualan hangat ketika ini adalah mengenai isu kos sara hidup yang tinggi terutama sekali di kawasan bandar. Permasalahan ini tentu sekali memberi impak negatif kepada golongan belia.
Bagi belia luar bandar pula, cabaran utama mereka adalah untuk menaikkan taraf ekonomi tanpa bergantung kepada sektor-sektor tradisional seperti sektor pertanian dan perladangan.
Kebergantungan kepada kedua-dua sektor tersebut, antara lain adalah penyebab utama penghijrahan pesat belia luar bandar ke bandar.
Belia luar bandar memerlukan sektor-sektor dan inisiatif baharu bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka, seperti contoh ekonomi digital atau pertanian moden.
Tanpa sektor dan inisiatif baharu, penghijrahan besar-besaran golongan belia luar bandar akan terus berlaku dan rasa kepunyaan mereka terhadap luar bandar akan terhakis.
Adalah lebih ideal jika belia luar bandar dapat terus kekal di luar bandar dan mengusahakan sektor-sektor ekonomi baharu dan mencurahkan bakat dan tenaga untuk perubahan kawasan luar bandar.
Ia adalah sejajar dengan semangat “belia” itu sendiri sebagai ejen perubahan untuk memangkin perubahan positif ke mana sahaja mereka pergi.
Bercakap mengenai sektor ekonomi dan perniagaan, tidak dapat tidak ianya berkait rapat dengan modal teroka yang mungkin sering menjadi satu halangan besar kepada para belia yang berhasrat menceburinya.
Di sini suka saya berkongsi maklumat iaitu diperingkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) khususnya di Majlis Amanah Rakyat (MARA) misalnya mempunyai pelbagai kemudahan pembiayaan untuk dimanfaatkan.
Ramai yang sudah dibantu MARA dan ramai yang sudah berjaya menjadi usahawan contoh yang boleh diikut jejak langkah mereka.
Dalam hal ini, para belia kita perlu berani meneroka dan menyelongkar setiap peluang yang tersedia. Carilah mentor dan belajar sesuatu yang baharu untuk mengembangkan lagi idea perniagaan yang hendak diceburi.
Saya suka mengambil inspirasi daripada gerakan “Saemaul Undong” di Korea.
Semangat yang ditanamkan ke dalam nurani rakyat Korea melalui gerakan Saemaul Undong ini berkesan merekayasa masyarakat menjadi masyarakat terhebat dan dalam masa kurang daripada 50 tahun menjadi kuasa besar ekonomi dunia.
Kesenjangan Peluang dan Aspirasi;
Melihat dari sudut lebih jauh, globalisasi dan digitalisasi telah memaksa belia luar bandar untuk mencari peluang-peluang baharu bagi membina kehidupan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka.
Ditambah pula dengan arus digitalisasi, lambakan informasi telah menjadikan kehendak dan keinginan mereka melebihi peluang dan ruang yang wujud di kawasan luar bandar.
Oleh itu, dasar pembangunan luar bandar haruslah mengurus dilema di antara kehendak dan keinginan belia luar bandar dengan peluang dan ruang yang ada untuk mereka memajukan diri sendiri.
Bagi menjayakan hasrat tersebut, polisi yang lebih inklusif harus dilaksanakan. Antara langkah yang boleh diambil adalah:
Pertama, masa depan belia luar bandar memerlukan tujahan yang serius dengan bersandarkan data terkini.
Ia harus mengambil kira perubahan-perubahan semasa seperti perubahan demografi dan perubahan digital serta perubahan sosial belia luar bandar.
Kedua, kolaborasi utuh antara pelbagai pemegang taruh amat diperlukan bagi memastikan seluruh ekosistem sosio-ekonomi luar bandar dapat diubah dan mesra kepada aspirasi belia.
Bagaimana KPLB Merintis Transformasi?
KPLB sebenarnya sedang mengusahakan transformasi luar bandar menerusi sektor pekerjaan.
Sebagai contoh, dalam sektor tradisional seperti pertanian, kebergantungan kepada “manual labour” atau buruh kasar, terutama sekali buruh asing sedang giat dikurangkan.
Selain itu, menerusi pelaburan terarah terhadap pertanian moden pula, belia luar bandar akan mendapat laba daripada lebih banyak peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan dalam pelbagai kapasiti untuk mengisi pelbagai kekosongan rantaian bekalan sektor tersebut.
Untuk masa mendatang, KPLB akan memberi perhatian kepada trend masa hadapan atau “future trends” bagi memastikan setiap dasar berkenaan luar bandar juga merupakan dasar pro-belia luar bandar.
Maka, pendekatan yang lebih spesifik akan dilaksanakan KPLB bagi memastikan luar bandar adalah luar biasa bukan sahaja kepada golongan berumur tetapi juga kepada golongan belia.
Belia Luar Bandar, Belia Terhebat;
Setiap cabaran yang wujud di kawasan luar bandar tidak akan menghalang pemerkasaan belia luar bandar.
Itu adalah premis utama atau “the main premise” kita. Ini kerana, setiap cabaran akan turut datang bersama peluang bagi pembuat dasar melakukan yang terbaik kepada pemegang taruhnya yang pelbagai.
Dalam fasa pasca pandemik COVID-19, kita melihat kecenderungan belia Malaysia yang dahulunya berhijrah ke kawasan bandar untuk kembali ke luar bandar.
Maka, trend ini harus disambut dengan memastikan pelbagai peluang ekonomi dalam sektor-sektor baharu dapat disuburkan.
Belia luar bandar harus kekal di luar bandar dan menerobos pelbagai cabaran semasa agar “the next big growth” bagi Malaysia dipacu oleh luar bandar.
Bagi memastikan dasar yang dilaksanakan adalah terarah dan berkesan, sinergi antara pelbagai kementerian seperti Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan lain-lain lagi akan digembleng.
KPLB akan memastikan agenda memperkasa luar bandar mahupun memperkasa belia luar bandar secara spesifik akan menjadi agenda utama Kerajaan dan kementerian-kementerian lain.
Tuntasnya, saya percaya dan begitu yakin, bahawa belia luar bandar adalah kunci yang dapat membongkar kekuatan terpendam luar bandar Malaysia. Belia luar bandarlah merupakan katalis utama kepada luar bandar luar biasa.
DATUK SERI MAHDZIR KHALID
Menteri Pembangunan Luar Bandar