KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO yang dijadualkan malam esok ditangguhkan dan dijadualkan semula pada 30 Sept ini.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Mesyuarat Khas MT UMNO itu ditangguhkan berikutan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO terbabit dengan acara perasmian Sukan Malaysia (Sukma) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, malam esok.
“Tarikh baru mesyuarat ialah pada hari Jumaat 30 Sept, 8 malam yang merupakan mesyuarat penuh MT UMNO,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Ahmad menerusi hantaran sama turut memaklumkan bahawa pimpinan UMNO dijemput untuk menghadiri Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional Malaysia yang bermula 2 petang esok, di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur. – BERNAMA