Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI
LIGA Perdana Inggeris (EPL) dikatakan mahu menunda pertandingan untuk sementara bagi memberikan penghormatan kepada mendiang Ratu Elizabeth II.
Bagaimanapun, langkah ini dikritik bekas pemain kebangsaan England.
Ratu Elizabeth II mangkat pada Khamis di Istana Balmoral, Scotland dalam usia 96 tahun.
Pengulas bola sepak yang juga bekas pemain Arsenal, Piers Morgan menilai saingan sepatutnya tetap berjalan seperti biasa.
“Kegiatan sukan kena tetap berjalan. Pertama, Ratu sendiri menyukai sukan. Dan yang kedua, akan lebih hebat jika dapat mendengar atau melihat orang ramai menyanyikan lagi nasional sebagai penghormatan kepada Yang Mulia, sebagaimana penyokong West Ham melakukannya dengan sangat luar biasa,” kata Piers Morgan di Twitter.
Pandangan itu disepakati bekas kapten Manchester United, Gary Neville.
“Saya sepakat, Piers. Sukan dapat menjadikan ia lebih baik daripada kebanyakan penghormatan yang cepat diterima Ratu,” balas Neville terhadap ciapan Piers Morgan.
Seorang lagi bekas penyerang England, Peter Crouch turut mendukung sentimen itu.
Jelasnya, menunda pertandingan menghilangkan peluang untuk kelab, para pemain, dan penyokong memberikan penghormatan kepada Ratu Elizabeth II.
“Saya tahu ini cuma pertandingan dan ada hal-hal yang jauh lebih besar, tapi bayangkan semua pertandingan kita tetap berjalan akhir minggu ini.
“Para pemain memakai lilitan hitam, ada lagu kebangsaan dimainkan, dram band kerajaan mengiringi dan lain-lain untuk jutaan orang di seluruh dunia yang menyaksikan, bukankah itu penghormatan yang lebih baik?” ungkapnya di Twitter.