Oleh: ARRIAN ZAYNE
KUCHING: Keringkam, Songket dan “Gajah Oleng” bakal dipentaskan bersama seni kontemporari di pentas Nuansa Seni Jilid 2: Kesatuan Budaya dan Busana Melayu Sarawak pada 1 Oktober ini.
Menurut penganjurnya, Dr Sharifah Suzana Wan Shukran @ Anna Sue acara berprestij itu bakal menggabungkan dua tradisi iaitu lama seni kontemporari atau moden dalam satu pertunjukan tunggal.
“Pertunjukan fesyen tradisional serta persembahan seni Melayu Sarawak disatukan melalui pelbagai pameran fesyen yang membawakan Keringkam, Songket dan “Gajah Oleng” tradisional serta fesyen kontemporari menggunakan fabrik tradisional dalam koleksi pereka tempatan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Anna Sue memberithu pereka tempatan yang terlibat ialah D’Keringkam oleh Danny Zulkifli, Seri Gedong Songket, Hafiz Dressmaker, Ben Nazry dan dirinya, Anna Sue.
“Selain pameran fesyen, acara itu turut menampilkan persembahan seperti Hadrah Melayu, Persembahan Seni Silat, Persembahan Gambus, Nopeng atau Bermukun dan Gendang Sarawak serta tarian tradisional,” ujarnya lagi.
Bercakap mengenai objektif penganjuran kali ini, Anna Sue berkata acara berkenaan bertujuan untuk memupuk kesedaran terhadap penerimaan pelbagai budaya di dalam masyarakat.
“Selain itu, untuk mewujudkan elemen kelestarian seni, budaya, ‘produk warisan’ Sarawak, acara itu juga menggalakkan kebolehpakaian di samping merancakkan aktiviti keusahawanan terutamanya selepas pandemik COVID-19.
“Oleh itu, adalah terpanggil untuk kita mengadakan acara ini kerana ia bukan sahaja mengenai fesyen tetapi ia adalah mengenai gabungan pelbagai bentuk seni, tradisi dan pakaian dan membawanya ke persada fesyen,” tegasnya acara berkenaan dibiayai oleh Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudyaan Sarawak di bawah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Anna Sue meyakini acara berkenaan bakal menjadi acara yang sangat berkesan untuk menaikkan kerjaya pengeluar tekstil seperti songket, keringkam, pembuat kraf dan pereka.
Beliau mendedahkan lagi rumah Warisan Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai yang terletak di Jalan Muda Hashim, Kuching Sarawak dipilih sebagai ‘pentas’ malam berkenaan ekoran kediaman itu tersergam indah dengan ukiran yang klasik dan seni bina Melayu tradisional yang unik bertepatan dengan tema pertunjukan.
Difahamkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka hadir bersama sekitar 250 tetamu jemputan yang lain.