KUALA LUMPUR: Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini digalakkan segera mendaftar Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian (TRIS) bagi tujuan pemantauan, pemberian bantuan dan peluang pekerjaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, hanya mereka yang berdaftar melalui sistem TRIS dan memiliki kad identiti khas MyRC boleh dipertimbangkan untuk diberi akses kepada kemudahan disediakan kerajaan.
Katanya, kemudahan tersebut seperti perkhidmatan kesihatan awam, pendidikan di pusat bimbingan alternatif yang berdaftar, peluang pekerjaan dan latihan terutamanya dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkilangan.
Beliau berkata selain itu, ia juga dapat memudahkan kerajaan untuk memantau dengan lebih efisien keberadaan pemegang kad khas berkenaan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang akan diperkenalkan nanti.
“Sungguhpun Malaysia mempunyai pendirian tegas dengan tidak mengiktiraf golongan pelarian, namun atas prinsip kemanusiaan, kerajaan tetap menguruskan golongan tersebut secara kes demi kes,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan di Pusat Pendaftaran TRIS di Sungai Buloh, Selangor petang tadi.
Hamzah berkata pendaftaran semula pemegang kad UNHCR ke dalam sistem berkenaan akan melalui proses pemprofilan lebih teliti menggunakan teknologi canggih yang dilengkapi dengan ciri keselamatan yang tinggi serta perlu disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Pada 22 Julai lepas, kerajaan meluluskan TRIS untuk diguna pakai secara besar-besaran terhadap semua pemegang kad UNHCR di negara ini.
Hamzah pada 23 Julai dilapor berkata sistem tersebut diluluskan bagi memastikan segala data individu yang memegang kad UNHCR didaftarkan semula dengan TRIS bagi mengenal pasti keberadaan pelarian dan pelaporan kepada negara.
TRIS merupakan sistem pangkalan data Malaysia, yang berkaitan dengan status pemegang kad UNHCR dan pencari suaka selain bagi mengemas kini proses pengurusan dan profil bersama-sama dengan proses pengumpulan data, pendaftaran, penyimpanan profil, analisis dan pelaporan untuk Kerajaan Malaysia. – BERNAMA