KUALA NERUS: Penjaga gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim memohon maaf kepada penyokong skuad Penyu kerana gagal mempamer aksi terbaik pada perlawanan akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas.
Penjaga gol berusia 21 tahun itu turut mengakui kesilapannya melepaskan gol mudah ketiga buat Johor Darul Ta’zim (JDT), menyebabkan Terengganu terlepas peluang membawa pulang kejuaraan berprestij itu setelah 11 tahun menunggu.
Menurut Rahadiazli, seperti penyokong setia bola sepak Terengganu, beliau masih terkilan dan kecewa kerana gagal menghadiahkan piala buat penyokong TFCÂ pada penampilan pertamanya di pentas perlawanan akhir yang berakhir dengan kekalahan 1-3 di tangan JDT.
“Saya akui tidak bermain seperti yang diharapkan semua orang, persembahan pada malam itu di bawah kemampuan sebenar saya.
“Saya dengan rendah hati memohon maaf kerana tak berjaya bawa balik piala ke Terengganu. Ini juga sebenarnya adalah impian dan harapan saya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Gong Badak, petang semalam.
Bagaimanapun, Rahadiazli yang juga pemain skuad Bawah-23 Tahun Kebangsaan enggan terus berduka dan bertekad menjadikan kesilapan tersebut sebagai pengajaran berharga.
Katanya, tiupan semangat daripada jurulatih, rakan sepasukan serta peminat bola sepak dijadikan azimat untuk beliau bangkit dan memperbaiki kesilapan pada masa hadapan.
“Saya juga enggan ambil tahu tentang komen-komen negatif peminat di laman sosial dan perkara yang sudah lepas saya akan jadikan tauladan untuk perbaiki kesilapan,” katanya.
Dalam pada itu, pemain kelahiran Setiu, Terengganu itu turut melahirkan rasa syukur kerana terpilih menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thailand yang bermula dari 22 hingga 25 Sept ini di Chiang Mai.
Katanya, peluang tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk mempamer prestasi terbaik bagi meraih peluang beraksi bersama pasukan kebangsaan. – BERNAMA