KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) masih belum membincangkan perkara berkaitan kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), kata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Presiden PKR dan ketua Pembangkang, berkata perkara itu tidak berbangkit untuk dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.
“PH belum membincangkan hal ini (kerjasama dengan MUDA), perkara ini tidak berbangkit, soal kerjasama dan perbincangan tiada masalah, baik dalam kalangan pembangkang. Tetapi untuk penyertaan (MUDA) dalam PH belum dibincangkan Majlis Presiden PH,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Simposium Perubahan Iklim 2022 anjuran Pejabat Ketua Pembangkang dengan kerjasama Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Parlimen di Bangunan Parlimen, hari ini.
Sementara itu, MUDA bersedia untuk berkerjasama dengan PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di luar dewan yang menjadi lokasi Bengkel Tertutup MUDA sempena Persidangan Pilihan Raya MUDA. esok.
Syed Saddiq berkata pada persidangan esok, MUDA akan melantik dan mengumumkan Pengarah Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pilihan Raya sebagai persiapan PRU15 selain mahu lebih banyak wanita untuk berada di barisan hadapan dalam proses penentuan calon menggerakkan jentera pilihan raya. – BERNAMA