MOSCOW: Putera William dan Putera Harry bersama-sama hadir di luar pekarangan Istana Windsor di London untuk melihat jambangan bunga yang ditinggalkan orang ramai sebagai penghormatan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Putera William diiringi isteri Kate Middleton manakala Putera Harry bersama pasangannya Meghan Markle turut berkenan beramah mesra dengan orang ramai yang berada di luar pekarangan istana itu.
Penampilan putera diraja Britain itu adalah yang pertama sejak Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland pada Khamis, lapor Sputnik.
Pewaris takhta, Putera William dan isteri Kate dimasyurkan sebagai Putera dan Puteri Wales selepas ayahandanya Raja Charles III ditabalkan sebagai Raja Britain.
Putera William dalam satu kenyataan rasmi di media sosial, berterima kasih atas bimbingan, kata-kata yang menenangkan serta kearifan mendiang nendanya sejak beberapa dekad lalu.
“Beta tahu hari ini akan tiba, namun akan mengambil sedikit masa sebelum berdepan realiti kehidupan tanpa nenda…Sebagai menghargai semua kenangan bersama nenda, beta akan sedaya upaya menyokong ayahanda beta,” titahnya. – BERNAMA