KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan Rang Undang-Undang Sumbangan Politik dapat dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada persidangan Parlimen awal November ini, manakala bacaan kedua pada hujung bulan berkenaan (November).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) telah menyediakan skop dan parameter dasar digariskan dalam rang undang-undang itu dan dipanjangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti sebelum dapat dimuktamadkan.
Wan Junaidi berkata beliau juga akan mengadakan sesi libat urus bersama wakil Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada 28 Sept ini di Parlimen, bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara dasar bagi Rang Undang-Undang Sumbangan Politik yang sedang digubal.
“Selain itu, rang undang-undang ini juga mengambil kira pandangan pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang diadakan bersama pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) serta pakar akademik.
“Pada masa yang sama, beberapa sesi perbincangan dalaman juga dibuat bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi memperincikan dasar penggubalan rang undang-undang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengimbau kembali sejarah, Wan Junaidi berkata inisiatif untuk memperkenalkan undang-undang yang mengawal selia dana politik pernah diusahakan oleh kerajaan pada 2015 melalui penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), namun tidak terlaksana.
Selepas itu, beliau berkata cadangan kerangka perundangan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik juga pernah dikemukakan kerajaan kepada Parlimen pada November 2019 untuk dibentang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, namun hasrat itu juga tidak kesampaian.
“Justeru, kerajaan pada kali ini yakin dan kekal komited bahawa undang-undang sumbangan politik ini akan dapat direalisasikan,” katanya. – BERNAMA