HomeBeritaRenjer ditahan secara salah, semberono terima ganti rugi RM300,000

Renjer ditahan secara salah, semberono terima ganti rugi RM300,000

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan bahawa penahanan dalam lokap terhadap seorang bekas anggota tentera adalah salah dan dibuat secara ‘semberono’.

Dipetik daripada laporan BH, mahkamah mendapati berlaku kepincangan dalam prosedur tindakan tatatertib terhadap plaintif iaitu bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 311 hari pada 2014.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas mengarahkan Mohamad Maliki Abdul Halim, 35, diberi ganti rugi am, khas, teladan teruk secara global sebanyak RM300,000.

Beliau turut mengarahkan defendan membayar kos guaman RM30,000.

Dalam penghakimannya, Mohamad Abazafree berkata, penahanan yang dibuat terhadap plaintif yang ketika itu bertugas sebagai anggota Renjer Batalion 5 Rejimen Renjer Diraja Kem Desa Pahlawan, adalah tidak sah.

“Mahkamah juga mendapati berlaku salah guna kuasa oleh defendan selain disifatkan tidak bertanggungjawab sehingga plaintif sehingga dinafikan hak untuk bersama keluarga serta kehidupan bebas,” katanya.

Mohamad Maliki diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed, manakala defendan diwakili peguam, Norfauzani Mohd Noordin.

Mohamad Maliki memfailkan saman pada Mei 2018 dengan menamakan Pegawai Memerintah Batalion ke-5 Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Shifullizan Abd Aziz; pihak berkuasa sidang Panglima Bridged Kelapan Infantri Malaysia; Panglima Angkatan Tentera dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Menerusi penyataan tuntutan itu, satu operasi pencegahan dadah dilakukan terhadap 26 anggota termasuk plaintif pada Mac 2014 dan hasil operasi itu, sembilan anggota termasuk plaintif positif dadah.

Plaintif sudah dibicarakan dan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Tentera sebelum dikenakan tahanan ketat dengan diletakkan di dalam bilik lokap selama 250 hari sehingga 8 April 2015.

Mohamad Maliki ketika ditemui bersyukur kerana perjuangan selama empat tahun akhirnya memihak kepadanya.

Bapa kepada lima orang anak berusia enam hingga 12 tahun itu berkata, berat ujian yang dialami sejak 2014 iaitu selain ditahan, dia dan isteri juga bercerai dan kini berjauhan dengan anak-anaknya.

“Bagaimanapun saya menganggap ujian berkenaan ada hikmah dan bersyukur atas keputusan hari ini.

“Selama empat tahun penantian saya dan saya terpaksa ulang alik ke Kelantan, alhamdulillah akhirnya keputusan memihak kepada saya,” katanya yang kini bekerja sebagai juruteknik di Kuala Lumpur.

Bekas anggota tentera, Mohamad Maliki Abdul Halim, 35 (dua kanan) diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, hari ini bahawa penahanan terhadapnya oleh ATM selama 311 hari pada 2014 adalah salah.

Author

Pilihan Editor