KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak menjalin kerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Salford, United Kingdom untuk membangunkan penyelesaian teknologi inovatif yang boleh menangani cabaran global dan industri berikutan perubahan iklim global.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata melalui kerjasama serta kolaborasi itu kerajaan negeri menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan menggunakan beberapa platform digital untuk mengumpulkan data-data yang diperlukan.
“Data ini penting untuk kita buat keputusan dan juga dasar sekiranya berlaku bencana sekali gus dapat mengurangkan bebanan yang menimpa masyarakat dan peniagaan. Ini sebagai pendekatan untuk kita mengurangkan risiko daripada apa yang berlaku.
“Dengan data disebutkan tadi, ia akan dianalisis di peringkat command centre dan sudah tentu mereka dapat memberikan cadangan kepada kerajaan mengenai apa yang harus dilakukan sebagai penyelesaian dalam menghadapi situasi bencana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Transcend Sarawak di Tegas Digital Village di sini, hari ini.
Terdahulu dalan ucapannya di majlis itu, Abang Johari berkata perubahan iklim yang berlaku pada masa kini boleh mewujudkan pelbagai bencana alam, dan pengumpulan data-data yang digabungkan akan dapat membolehkan amaran awal dapat dikeluarkan.
Sementara itu Ketua Penyiasat Projek Transcend dan THINKLab Universiti Salford Prof Terrance Fernando dalam ucapan di majlis itu berkata berkata daya ketahanan pintar perlu diambil kira dalam pembangunan bandar pintar.
“Menurut Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim, bergantung pada cara kita mengawal pelepasan gas rumah hijau, kita akan mempunyai laluan perubahan iklim yang berbeza.
“Di bawah trajektori sedia ada, dunia dijangka mengalami kenaikan suhu purata global sekurang-kurangnya 2.7 darjah menjelang 2100. Oleh itu, adalah penting untuk kita mempertimbangkan konsep daya tahan dalam pelan pembangunan kejiranan, bandar dan wilayah kita,” tambahnya. – BERNAMA