SELAYANG: Malaysia belum pernah ada Perdana Menteri dari Sabah, namun ia tidak mustahil jika itulah pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Parti Warisan Sabah (Warisan) yang berjaya menawan hati rakyat Sabah terus meletakkan harapan tinggi untuk melihat Perdana Menteri ke- 10 nanti adalah anak jati Negeri Di Bawah Bayu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong yang dulu DAP kini menyertai Warisan berkata, harapan rakyat adalah untuk melihat pemimpin yang membawa penyatuan tanpa perbezaan agama dan bangsa.
“Hanya ada tiga parti sahaja yang ada calon PM, satu dari UMNO, satu lagi PKR dan satu dari Warisan.
“Dua calon PM dari Semenanjung, satu dari Sabah dan satu ini adalah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Beliau berupaya memberi perubahan dalam pentadbiran negara di bawah kerajaan baharu yang lebih stabil.
“Boleh buat kajian mengenai peribadi Shafie, pengalamannya dalam parti UMNO sudah lebih 30 tahun tetapi tidak pernah keluar perkataan menyentuh kaum atau agama.
“Hati-hati jangan jatuh ke dalam perangkap isu agama dan kaum,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau hadir bersama calon Warisan di Parlimen Batu, Nathan Pillai ke Pertandingan Badminton Tahunan Piala Hari Malaysia yang pertama di Selayang Mall di sini.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Warisan Batu P115 bersama Flying Spirit Badminton Academy (FSBA) dan diiktiraf oleh Persatuan Badminton Selangor.
Untuk rekod, Mohd Shafie merupakan Ahli Parlimen Semporna juga adalah Presiden Parti Warisan Sabah.
Anak berketurunan Bajau ini menubuhkan Parti Warisan Sabah pada 17 Oktober 2016 bersama dengan Datuk Darell Leiking dan beberapa ahli politik Negeri Sabah yang lain.
Parti Warisan Sabah (Warisan) yang sebelumnya dikenali sebagai Parti Pembangunan Warisan Sabah (Sabah Heritage Development Party) merupakan salah satu parti di Malaysia yang berpangkalan dan beroperasi di negeri Sabah, Malaysia.
Parti ini telah menggariskan dasar perjuangannya di mana matlamat perjuangannya adalah untuk kepentingan masyarakat Sabah.
Mohd Shafie berkhidmat sebagai Ketua Menteri ke-15 dan Menteri Kewangan Negeri Sabah dari Mei 2018 hingga September 2020 berikutan kekalahan gabungannya, Parti Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.
Beliau telah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (MP) Semporna sejak April 1995 dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah (MLA) untuk Senallang sejak Mei 2018.
Beliau pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan Wakil Presiden Orang Melayu Bersatu Organisasi Nasional (UMNO), parti terkemuka dalam gabungan Barisan Nasional (BN) ketika itu.
Beliau adalah Presiden pengasas Warisan, parti pembangkang Sabah yang bersekutu dengan gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH).