BATU CAVES: Sidang media pembukaan kedai pameran Sham Bodykit di Taman Samudera 3 semalam, sedikit kecoh apabila dikejutkan dengan bunyi dentuman disusuli gegaran kecil.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sedang ditemubual pengamal media secara spontan menunjukkan reaksi terkejut.
Ia bukan gimik pelancaran majlis namun dipercayai kerana lebihan muatan ketika ramai berkumpul untuk sidang media di lantai tingkat dua kedai pameran berkenaan.
Pada sidang media itu, Siti Nurhaliza turut ditemani suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau dikenali Datuk K, pemilik kedai pameran Sham Bodykit, Noorisham Mohd Nor dan juga Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.
Kesemuanya terpaksa turun ke bawah bagi meneruskan program.
Siti Nurhaliza yang mesra dipanggil Tok Ti dengan ‘sporting’ dan profesional menyambung sesi temu bual bersama pengamal media di ruang legar bangunan berkenaan.
“Mungkin kerana muatan lebih daripada yang dibenarkan menjadi punca kejadian namun majlis berjalan dengan lancar tanpa masalah.
“Kadang-kadang perkara tak dijangka berlaku namun ia tidak mencacatkan program yang diadakan.
“Saya hadir hari ini kerana bangga dengan usahawan Bumiputera kita yang tidak putus asa dan berani mencabar diri buat sesuatu berbeza dengan menawarkan khidmat bodykit kenderaan dan reka bentuk kereta khususnya pacuan empat roda,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Turut memeriahkan majlis adalah
Datuk Afdlin Shauki, Nabil Raja Lawak, Datuk Fizz Fairus dan lain-lain.
Body Shamkit membekalkan body kit untuk kenderaan, mereka bentuk kereta mengikut permintaan, barang ‘half cut’, spa kereta, sistem audio dan lain-lain.
Pelbagai kereta pacuan empat roda dengan reka bentuk unik dan menarik turut dipamerkan pada majlis berkenaan.