HomeBeritaSukan Orang Asli Kebangsaan JAKOA cungkil potensi atlet Orang Asli

Sukan Orang Asli Kebangsaan JAKOA cungkil potensi atlet Orang Asli

KUANTAN: Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) terus proaktif membangunkan pelbagai agenda, dan sukan antara menjadi tumpuan utama bagi mencungkil bakat atlet negara pada masa hadapan.

Justeru, dengan sejumlah sebahagian peruntukan RM274 juta, Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi JAKOA mahu melahirkan bakat atlet masyarakat Orang Asli yang berpotensi melalui penganjuran Sukan Orang Asli Kebangsaan secara konsisten.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata, penganjuran karnival sukan mampu dijadikan sebagai medan menghasilkan atlet berpotensi untuk diketengahkan pada temasya sukan di peringkat negeri atau kebangsaan seperti SUKMA.

Katanya, penganjuran karnival sukan ini membuka peluang kepada belia dan beliawanis Orang Asli terlibat secara langsung dalam bidang sukan.

Ianya juga membantu merapatkan hubungan silaturrahim antara masyarakat orang asli melalui sukan.

”Kita tahu corak kehidupan orang asli ini yang banyak tinggal di kawasan pinggir bandar dan di dalam hutan selain sering berjalan kaki serta menggunakan kudrat untuk aktiviti pertanian dan sebagainya mampu untuk membentuk stamina yang luar biasa di kalangan kaum-kaum lain.

“Hasrat kita adalah untuk menjadikan karnival ini sebagai satu lonjakan untuk belia dan beliawanis terlibat secara serius dalam bidang sukan selain mampu mewakili negeri masing-masing dalam kejohanan yang besar,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Universiti Islam Antarabangsa, Kampus Indera Mahkota, di sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.

Karnival dua hari itu membabitkan acara seperti bola sepak, bola jaring, sepak takraw dan menyumpit.

Seramai 535 orang atlet dan jurulatih serta urus setia yang terlibat sepanjang penganjuran karnival sukan berkenaan.

Abdul Rahman berkata, sehingga kini, seramai tiga atlet masyarakat Orang Asli meraih kejayaan di persada sukan antarabangsa.

”Atlet tersebut, Zumika Azmi, 19 dan adiknya, Sasha,17 dari suku kaum Temiar, Gua Musang Kelantan ini aktif bersukan sejak dari sekolah lagi sehingga berjaya mewakili Malaysia dalam sukan kriket.

“Kedua-adik beradik adalah pemain skuad negara dan kini menjalani latihan bersama jurulatih Thushara Prabath Kodikara sejak Ogos lalu.

“Kini membantu skuad kriket negara meraih pingat gangsa acara T20 Sukan SEA menewaskan Singapura dengan 52 larian menerusi sembilan over,” katanya.

Katanya, Norashikin Mohamad Sayed Gadis pula adalag Orang Asli pertama mewakili negara dalam Sukan Layar.

“Pencapaiannya juga sangat memberangsangkan apabila dia memperoleh pingat perak Sukan Asia China 2010, pingat emas Kejohanan Kapal Layar Asia di China 2010, pingat gangsa Sukan SEA Myanmar 2012, pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 dan pingat perak Sukan SEA KL 2017,” katanya.

Secara keseluruhannya, kontinjen Pahang dinobatkan Johan Keseluruhan Sukan Orang Asli Kebangsaan.

 

Author

Pilihan Editor