KUALA LUMPUR: Jaguh profesional perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia dilihat berada di landasan tepat untuk menduduki tempat pemain kedua terbaik menjelang hujung tahun, memandangkan ketika ini beliau merupakan pemain ketiga terbaik dunia berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
Zii Jia dilihat naik satu anak tangga dari kedudukan di tempat keempat sebelum ini, selepas berjaya mengumpulkan 91,578 mata, manakala penyandang juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark kekal di tempat teratas dengan 122,606 mata, diikuti dengan rakan senegara Anders Antonsen dengan 92,700 mata.
Pemain veteran Liew Daren muncul sebagai pemain terbaik kedua negara dalam ranking dunia apabila kekal di tempat ke-29 (48,009 mata), diikuti dengan pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 Ng Tze Yong, yang naik satu anak tangga untuk menduduki tempat ke-25 (42,384 mata).
Sementara itu juara beregu lelaki dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik, kekal di tempat kelima (90,328 mata) manakala dua lagi pasangan regu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, turut kekal berada dalam kelompok ranking 10 terbaik.
Yew Sin-Ee Yi kekal di tempat kesembilan (72, 490 mata) diikuti dengan Sze Fei-Nur Izzuddin di tempat ke-10 (69, 375 mata).
Pasangan beregu nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah kekal di tempat ke-11 (66,435 mata) manakala juara Syed Modi International 2022Â Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing naik ke tangga 29 (43,465 mata) daripada tempat ke31 sebelum ini.
Dalam perseorangan wanita juara Sukan SEA 2019 S. Kisona naik ke anak tangga ke-50 daripada tangga ke-49 (32,019 mata) manakala bekas juara remaja dunia dua kali Goh Jin Wei menduduki tempat ke-50 (31,441 points), naik empat anak tangga berbanding sebelum ini. – BERNAMA