KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata bukan mudah untuk membawa balik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low ke negara ini.
Wan Junaidi berkata kerumitan untuk mengekstradisi Jho Low dari China adalah kerana beliau percaya Kerajaan Malaysia dan China tidak ada menandatangani perjanjian ekstradisi.
“Jadi kita tidak boleh salahkan kerajaan daripada sudut ini kerana kita belum ada persetujuan dengan sesuatu negara tertentu.
Kalau kita mohon pun, kalau China kata ini permohonan biasa diplomatik sahaja, dia boleh tidak mengendahkannya . Jadi, dalam keadaan sedemikian ini, ia mungkin menghalang pihak-pihak berkuasa kita seperti polis, Kementerian Dalam Negeri bertindak dalam soal sini, ” katanya.
Wan Junaidi berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Universiti Malaya-National University of Singapore Hybrid: Pindaan Perlembagaan dan Struktur Asas di Malaysia, di sini hari ini.
Ketika ditanya “Adakah mustahil untuk membawa pulang Jho Low?”, Wan Junaidi berkata: “Saya tidak kata mustahil tetapi ia bukannya mudah.”
Jho Low dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba mengesan dan membawanya pulang ke negara ini, namun usaha pihak berkuasa setakat ini masih belum berhasil. – BERNAMA