BUKIT GANTANG: Ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al-Kholidiah, akan dihentikan segera sebaik pemimpinnya, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad ditahan.
Pemimpin tarekat, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad yang dipercayai sudah berada dalam negara, Ogos lalu masih gagal dikesan sehingga kini.
Habib Shah Firdaus sebelum ini ditahan kerajaan Arab Saudi dan dihantar pulang ke Malaysia yang dipercayai sudah berada di sini sejak 21 Ogos lalu berdasarkan laporan media arus perdana pada 8 September 2022.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga dilaporkan sudah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (Jheains) berhubung perkara itu namun keberadaan pemimpin itu masih gagal dikesan, setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Idris Ahmad berkata, usaha mengesan pemimpin tarekat terbabit yang dikatakan melarikan diri dengan meninggalkan beberapa pengikutnya di Arab Saudi, masih diteruskan.
Beliau difahamkan, pemimpin yang mengaku dirinya ‘Imam Mahadi’ sudah pulang ke negara ini namun tidak diketahui tarikh sebenarnya.
“Kata mengaku ‘Imam Mahadi’ tapi cabut lari, penakut rupanya.
“Jika dapat dikesan dan ditahan, tindakan tegas akan diambil ke atasnya supaya ajaran yang disebarkan dihentikan segera,” katanya selepas Program Santai Anak Muda di Simpang, Taiping disini, pada Ahad.
Mengulas mengenai 63 rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu, Idris memberi jaminan, mereka akan dapat kembali ke Malaysia dalam tempoh terdekat.
“Usaha membawa pulang mereka sedang dijalankan dengan pihak Konsulat Jeneral Malaysia di sana.
“Keluarga tidak perlu bimbang mengenai kos kerana ia akan ditanggung kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Luar Negeri mengesahkan 63 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 28 individu dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.
Semua jemaah terbabit dibawa ke Madinah oleh Kumpulan Tarekat Naqsyabandiah Al-Kholidiah pada Mac lalu, namun mereka tidak pernah dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.