KUALA LUMPUR: Aksesori bercirikan kepelbagaian seni dan budaya masyarakat di Malaysia nampaknya sentiasa menjadi pilihan dalam penataan gaya diri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Usaha Menteri Kewangan dalam mempromosi keunikan khazanah warisan negara dengan caranya yang tersendiri itu wajar dipuji.
Beliau adalah contoh pemimpin yang bijak mengambil kesempatan membantu membawa imej warisan negara secara terbuka.
Ini dapat dilihat ketika beliau menjadi tumpuan seluruh negara menerusi kaca televisyen dan media sosial bagi membentangkan bajet tahunan.
Berbanding tahun lalu, Bendahari BN Selangor itu menggunakan beg diperbuat daripada anyaman buluh dan kanvas kapas hasil kreatif usahawan kraf berketurunan Dusun untuk mengisi dokumen Bajet 2022.
Tahun ini pula, Tengku Zafrul memilih beg yang dihasilkan penenun dari Tanoti, sebuah Perusahaan Sosial di Sarawak bagi membawa dokumen berharga itu.
Enam suku kaum utama di Sarawak, iaitu Orang Ulu, Melayu, Bidayuh, Iban, Melanau dan Cina diterjemah melalui corak tenunan songket pada beg berkenaan.
“Kepelbagaian motif itu bergabung untuk menghasilkan beg yang menarik ini. Sama juga dengan kepelbagaian latar belakang kita di Malaysia, jika digarap dan digabung akan membentuk Keluarga Malaysia yang kukuh dan harmoni.
“Kami berharap Bajet 2023 ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada mengeratkan talian antara ahli Keluarga Malaysia, membantu semua yang perlu dan menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara,” katanya ketika berucap pada pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat di sini.
Pada masa sama, Tengku Zafrul yang segak berbaju Melayu berwarna biru firus lengkap bersampin itu turut memaklumkan sapu tangan batik yang digunakannya juga adalah hasil tangan usahawan wanita di Program Perumahan Rakyat (PPR).
Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Makmur Bersama’ adalah pembentangan kali ketiga bagi Tengku Zafrul selepas Bajet 2021 dan Bajet 2022.