HomeBeritaPolitikBersatu sedia bekerjasama dengan Pejuang jika mereka serius - Muhyiddin

Bersatu sedia bekerjasama dengan Pejuang jika mereka serius – Muhyiddin

PUTRAJAYA: Bersatu bersedia untuk mempertimbangkan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, kerjasama berkenaan boleh dilaksanakan sekiranya Pejuang serius mengenai perkara itu, bagaimanapun Muhyiddin mengesahkan setakat ini pihak Pejuang belum menghubunginya bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Setakat ini, tiada pihak berhubung dengan saya tentang soal itu. Lagipun kita dah berada dalam fasa persiapan, dulu pun pernah juga bincang awal, tapi lepas itu tak jadi apa-apa. (Jadi) saya kurang pasti sama ada serius atau tidak cadangan (kerjasama) itu.

“Kalau ada pihak yang serius (untuk bekerjasama), kita sedia menimbang. Walaupun itu bukan hak saya sebab perkara tersebut perlu dibawa ke Majlis Tertinggi Bersatu untuk difikirkan (kerjasama) perlu atau tidak.

“Secara keseluruhannya bagi PN, kita sudah bersiap sedia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial’ di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu akan mempertimbangkan mengadakan kerjasama politik dengan parti lain yang dikira ‘sebulu’ dengan Pejuang untuk menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN), selain kesediaan Bersatu untuk bekerjasama dengan Pejuang. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor