CYBERJAYA: Baru-baru ini tular di media sosial sebuah video yang memaparkan masyarakat di Vietnam memenuhi panggung wayang dengan membawa pelbagai jenis bekas kosong beraneka saiz.
Bekas berkenaan dibawa bersama untuk mengisi popcorn kerana difahamkan sedang berlangsungnya kempen di mana individu yang membeli tiket wayang akan menerima popcorn percuma yang boleh diisikan ke dalam bekas mereka.
Tujuan kempen itu dilaksanakan adalah untuk menarik minat lebih ramai pengunjung untuk menonton wayang.
Video tersebut nyata mendapat perhatian warga maya khususnya di Malaysia yang turut berharap kempen berkenaan dijalankan di negara ini.
Rentetan itu, sebuah grup di Facebook, Kakimuvee telah mencabar mana-mana panggung wayang di Malaysia untuk menyertai kempen tersebut.
MBO Cinemas menjadi perhatian apabila menyahut cabaran tersebut dengan menyatakan pihaknya kini dalam proses perancangan.
“Okay guys, so, camni cerita dia admin tak dipecat, bos besar dah approve, bos medium sakit kepala, Cinema Manager tengah stress, budak concession trauma.
“So far so good. Bagi kami sedikit masa lagi untuk finalise semua terma dan syarat dan kami akan buat pengumuman dalam masa beberapa hari lagi. So korang dah boleh mula cari tong korang kat Shopee dah,” tulisnya pada Jumaat.
Sama-sama kita nantikan keputusan MBO Cinemas untuk beri ‘unlimited popcorn’ pada rakyat Malaysia!